Skip to main content

Sepak Takraw

Isu pengguguran pemain: MSN tunggu laporan PSM

syahir-zulkifli_1.jpg
Majlis Sukan Negara (MSN) masih menunggu laporan bertulis daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berhubung pengguguran dua atlet daripada skuad kebangsaan.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, berkata pihaknya perlu mendapatkan laporan berkenaan daripada PSM mengenai punca badan induk itu menyingkirkan dua tekong, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, daripada skuad negara, baru-baru ini.

“Kami masih menunggu laporan rasmi daripada PSM selepas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengadakan pertemuan dengan wakil PSM dan juga dua atlet berkenaan di ibu pejabat MSN, Bukit Jalil, baru-baru ini.

“Memandangkan dua atlet berkenaan di bawah Program Podium, kami meminta PSM menghantar laporan bertulis sebelum kami boleh mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Jefri memaklumkan PSM mempunyai hak untuk melarang dua atlet berkenaan menyertai mana-mana pertandingan tempatan, termasuk Kejohanan Sepak Takraw Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MKSAK) di Terengganu selama empat hari bermula esok.
 
Beliau berkata MSN tidak boleh menghalang keputusan tersebut kerana ia boleh dianggap mencampuri urusan dalaman persatuan sukan kebangsaan di negara ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa PSM melarang Mohd Syahir dan Zulkifli daripada menyertai MKSAK 2019 setelah mereka digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Larangan tersebut dikeluarkan oleh PSM menerusi surat yang dikatakan tular di laman sosial.

PSM sebelum ini mengambil tindakan drastik dengan menyingkirkan dua atlet berkenaan atas alasan disiplin selain melarang mereka daripada menyertai sebarang kejohanan tempatan.

Mohd Syahir merupakan kakitangan Majlis Amanah Rakyat (MARA) manakala Zulkifli bekerja dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video