Skip to main content

Advertisement

Hoki

Ismail kembali bentuk gandingan mantap bersama Faizal

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ismailabu.jpg
Bekas penyerang hoki negara, Ismail Abu, kembali bentuk gandingan pemusnah bersama Faizal Saari dalam jentera serangan Terengganu Hockey Team (THT) menjelang Liga Hoki Malaysia, bermula Khamis ini.

Ismail berkongsi pandangan dengan wartawan, Bazly Azmi, mengapa dia memilih untuk kembali ke pangkuan THT.

Ismail pernah membentuk gandingan mantap bersama Faizal dan Firhan Ashaari dalam jentera serangan THT pada 2014 serta 2015. 

Gandingan itu terpisah apabila Ismail berhijrah ke pasukan lain selain Firhan berpindah ke Tenaga Nasional Berhad.

Ketajaman mereka menjadi faktor utama THT muncul juara liga dan Piala TNB 2015.

Kali ini, Ismail kembali ke pangkuan THT selepas lima musim mengembara.

"Saya memilih THT untuk berkongsi pengalaman bersama pemain muda dalam pasukan ini," kata Ismail.

"Dalam jentera serangan THT, terdapat kombinasi pemain muda dan senior dan berharap mampu menghasilkan persembahan yang menarik bagi saingan musim ini."

Musim lalu, Ismail mewakili Nur Insafi Kedah dan menjaringkan enam gol.

Sementara itu, semua lapan pasukan lelaki perlu menunjukan keputusan ujian swab-pcr Covid-19 ketika mendaftar masuk dalam hotel penginapan rasmi kejohanan, esok.

Beberapa pasukan seperti Sabah, UniKL dan Universiti Teknologi Mara sudah mendapat keputusan mereka dan semuanya negatif.

Selain pemain, jurulatih dan pegawai, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut menetapkan syarat pengadil, pengutip bola dan pemandu bas pasukan perlu menyertai gelembung sukan LHM bermula esok hingga 3 April depan.

Advertisement

Must Watch Video