Skip to main content

Sukan Lain

Irwandie letak harapan tinggi dalam latihan di Melbourne

irwandie-lakasek.jpg
Atlet lumba basikal trek negara, Irwandie Lakasek, berharap program latihan di Melbourne yang bermula hujung bulan ini dapat membantu dirinya menuai emas dalam Sukan SEA, Ogos ini.

Skuad berbasikal trek negara akan berkampung di Melbourne bagi mengikuti program latihan yang sama seperti dilalui juara dunia keirin, Azizulhasni Awang.

Optimis kunjungan mereka akan membantu meningkatkan lagi prestasi, Irwandie yakin prestasi mereka akan memuncak sebaik Sukan SEA membuka tirai.

Dia akan menyertai acara kejar-mengejar berpasukan yang dijangka turut disertai Sofian Nabil Omar, Eiman Firdaus Mohd Zamri dan juga Afiq Huznie Othman.

Kali terakhir acara ini dipertandingkan ialah pada edisi 2011 di Indonesia, ketika itu Malaysia meraih emas menerusi Adiq Hussainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Mohamad Akmal Amrun serta Harrif Salleh.

"Memang agak mencabar untuk fasa terakhir, namun kami memang cukup bersedia untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Bagi saya, pasukan kami sangat serasi. Kami memang bersedia untuk beraksi," jelas Irwandie.

Sementara itu, bakal turun beraksi di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, seakan-akan menyuntik semangat baru dalam diri Irwandie.

Dia, antara yang mendapat peluang untuk mencuba permukaan trek di velodrom berkenaan baru-baru ini,yakin velodrom itu dapat menghadirkan lebih banyak kejayaan buat skuad berbasikal trek.

"Trek baru ini memang bagus. Permukaannya sangat rata, jadi ia membantu kami ketika sesi latihan. Kami bersemangat untuk beraksi, tambahan pula di laman sendiri," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video