Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket membawa masuk warga asing dalam satu Operasi Khas pada 3 Oktober 2024 di Maluri, Kuala Lumpur.


Operasi yang bermula pada jam 10.38 pagi melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan 3 lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai sebagai ‘sindiket’.

Dua lelaki warganegara Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala seorang lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa.

Turut ditahan di lokasi yang sama seramai 18 orang lelaki warganegara Bangladesh. Kesemua mereka yang ditahan berusia di antara 21 hingga 33 tahun. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 21 orang.

Pasukan operasi telah merampas sebanyak 18 naskhah pasport Bangladesh, wang tunai RM990.00 dan surat jemputan untuk menyertai pertandingan sukan beserta jadual pertandingan di negara ini yang dipercayai palsu.

Modus operandi sindiket adalah membawa masuk warganegara asing terutamanya warganegara Bangladesh dengan menyamar sebagai ahli sukan dengan berpakaian sukan, menempah tiket untuk pulang semula ke Bangladesh dan menempah bilik di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur sehari sebelum tarikh perlawanan semasa masuk ke Malaysia untuk mengaburi pihak berkuasa. Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 untuk setiap orang.

Sindiket dipercayai telah beroperasi selama empat bulan.

Kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3), Sek.15(4), Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Per.39(b) Peratutan-Peraturan Imigresen 1963. Seramai 2 lelaki warganegara Malaysia diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).