SUKAN LAIN
Hup Wei: Persaraan Nauraj satu kehilangan besar buat skuad olahraga negara
Lee Hup Wei menganggap pengumuman persaraan Nauraj Singh semalam sebagai satu kehilangan besar buat arena olahraga negara terutamanya buat acara lompat tinggi.
Dia mengakui sepanjang 15 tahun bergelar atlet, Nauraj sentiasa berikan yang terbaik setiap kali membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Hup Wei yang kini memikul tugas selaku jurulatih pelapis lompat tinggi kebangsaan bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk melahirkan 'The Next Nauraj Singh' kerana ianya memerlukan masa di samping program pencarian bakat yang teliti.
Iklan
Untuk rekod, Nauraj berjaya meraih pingat emas hatrik di penampilan Sukan SEA 2013, 2015 dan 2017 selain bergelar pemegang rekod kebangsaan yang diciptanya ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2017 dengan catatan lompatan 2.30 meter.
Ketiadaan Nauraj menyaksikan Malaysia kini menaruh harapan kepada dua prospek lompat tinggi kelahiran Sabah, Mohamad Eizlan Dahalan dan Farrell Glenn Felix Jurus.
"Dia seorang atlet yang menabur keringat untuk tempoh yang panjang buat Malaysia. Seorang atlet yang cukup berdisiplin, seorang yang sangat profesional dan memberikan yang terbaik," kata Hup Wei.
"Buat masa ini, kami masih lagi mendapatkan dan mencari lebih banyak atlet lompat tinggi yang baru. Menerusi beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan dan berharap akan melahirkan seorang atlet lompat tinggi yang elit."
Must-Watch Video