SUKAN LAIN
Hup Wei miliki peluang terakhir ke Qatar
Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mempunyai satu lagi peluang terakhir untuk melepasi had kelayakan Kejohanan Dunia di Doha, Qatar bulan depan selepas melakukan catatan 2.20 meter ketika meraih pingat emas saingan Terbuka Kuala Lumpur di Bukit Jalil, hari ini.
Tiada atlet olahraga negara yang melepasi had kelayakan Kejohanan Dunia tatkala Hup Wei merupakan antara calon terbaik meraih tiket wild card berbekalkan catatan terbaik musim ini, iaitu 2.27m, kurang 3 sentimeter daripada had kelayakan.
Namun, keutamaan diberikan kepada atlet acara trek, sekali gus memaksa jaguh kelahiran Sepang, Selangor itu menyertai Terbuka Uzbekistan yang bakal bermula 15 Ogos ini sebagai usaha terakhir ke Doha.
Iklan
"Ini ialah satu peluang baik untuk saya melakukan catatan lebih bagus. Ia merupakan peluang terakhir saya dan perlu berlatih lebih keras," katanya.
Pendaftaran saat-saat akhir tidak menghalang Hup Wei untuk meraih emas Terbuka Kuala Lumpur, yang meletakkan wakil dari Johor di tempat kedua sambil wakil Perak membawa pulang gangsa.
Sementara itu, faktor kepenatan menyaksikan jaguh lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, gagal mempamerkan aksi terbaik ketika meraih emas di Bukit Jalil.
Dia yang menjuarai saingan Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jumaat lalu, melepasi jarak 15.37m, sekali gus jauh daripada catatan peribadi terbaik, 16.77m.
Pingat perak menjadi milik atlet dari Pahang sementara gangsa dikutip oleh wakil Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
Dalam acara lompat jauh, juara Paralimpik 2016, Abdul Latif Romly, enggan mengambil risiko kecederaan apabila menarik diri selepas lompatan kedua untuk berpuas hati dengan 7.30m untuk mengutip perak.
Situasi itu membolehkan emas menjadi milik atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Raihan Aluwi, dengan 7.35m sementara wakil Selangor mengutip gangsa.
Must-Watch Video