Skip to main content

Sukan Asia

Hoki: Sukri waspada peningkatan Jepun

sukri-mutalib.jpg
Ketua pasukan hoki negara, Sukri Mutalib, lega apabila semua pemain sedia diturunkan berdepan Jepun dalam penentuan pingat emas Sukan Asia Jakarta-Palembang malam ini meskipun ramai tercedera ketika menyingkirkan India dalam aksi separuh akhir. 

Semua pemain menunjukkan komitmen tinggi untuk mencipta sejarah meraih emas sulung hoki dalam Sukan Asia.

Antara yang cedera di bahagian pertahanan terdiri daripada Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, Faiz Helmi Jali dan S. Kumar (penjaga gol).

Syafiq, contohnya, menerima beberapa jahitan di bahagian dahi, namun tetap mahu diturunkan dalam final.

"Rekod pertemuan tidak boleh dijadikan ukuran 100 peratus. 

"Jepun menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Persembahan mereka sangat baik ketika bertemu Korea Selatan dan Pakistan. 

"Kami perlu berusaha keras untuk mencapai kemenangan," kata Sukri. 

Malaysia menewaskan India 7-6 menerusi penentuan penalti dalam separuh akhir, kelmarin. 

Ia penampilan kedua The Malaysian Hockey Tigers di pentas final selepas tewas 0-2 kepada Pakistan dalam temasya 2010 di Guangzhou, China.

Rekod pertemuan berpihak kepada Malaysia dengan pertemuan terakhir dalam Piala Sultan Azlan Shah 2017 menyaksikan skuad kendalian Stephen Van Huizen itu menang 3-1.

Namun, pemain negara perlu berhati-hati dengan peningkatan Jepun yang mengatasi Korea Selatan di peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan Pakistan dalam separuh akhir.

"Perasaan kali ini sedikit berlainan kerana ini adalah final kedua kami. 

"Kami mempunyai misi yang sangat mencabar untuk memenangi emas. 

"Kami akan cuba sedaya-upaya mencapai misi ini," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video