Malaysia memulakan saingan hoki wanita dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan bergaya 8-0 ke atas Hong Kong dalam aksi Kumpulan A di Padang Hoki Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.
Bagaimanapun, skuad kendalian ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, itu dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan bertahan pasukan lawan apabila hanya berjaya menjaringkan dua gol dalam dua suku pertama permainan.
Advertisement
Gol pertama negara dijaringkan menerusi pukulan penalti oleh Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-13, diikuti jaringan padang Nuramirah Shakirah Zulkifli (minit ke-16).
Memasuki suku ketiga permainan, pasukan negara akhirnya berjaya menemui rentak sebelum meledak dua gol dalam masa dua minit, masing-masing menerusi jaringan padang Hanis Nadiah Onn pada minit ke-31 dan Nuramirah Shakirah (minit ke-33) untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Malaysia terus melancarkan serangan ke atas kubu pertahanan Hong Kong dan hasilnya skuad negara dihadiahkan pukulan penalti yang disempurnakan Nuraini pada minit ke-44 sebelum Fazilla Sylvester Silin melebarkan jurang kedudukan dengan menyumbat gol keenam pada minit ke-49.
Dua gol terakhir pasukan negara dijaringkan oleh Nuraini menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-57, sekali gus merupakan hatrik pertamanya di temasya ini sebelum jaringan padang oleh Norazlin Sumantri melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara.
Kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhaini menyifatkan kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk menghadapi baki aksi kumpulan dalam usaha melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.
“Memang pada permulaan kami agak perlahan kerana Hong Kong bermain dengan baik selain mempunyai barisan pemainnya yang berkualiti, terutama di bahagian tengah.
“Tetapi atas usaha keras dan arahan jurulatih,kami berjaya mengatasi taktikal mereka dan kemenangan ini memang sesuatu yang diperlukan pasukan. Kami akan terus berusaha untuk memperbaiki kesilapan dan mempamerkan aksi terbaik,” katanya selepas tamat perlawanan.
Malaysia akan bertemu China yang merupakan pemenang pingat perak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, Khamis ini, diikuti aksi ketiga berdepan Taiwan (Sabtu) dan melengkapkan pusingan kumpulan menentang Jepun pada Isnin depan.
— BERNAMA