SUKAN ASIA 2018
Hoki: Skuad negara tidak cemas strategi terdedah
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, terpaksa mendedahkan strategi gerakan bola mati apabila usaha Malaysia mengadakan sesi latihan secara tertutup di Pusat Hoki Gelora Bung Karno tidak berjaya.
Gerakan pukulan sudut penalti adalah antara senjata rahsia setiap pasukan.
Ia tidak didedahkan kepada pasukan lain menjelang aksi penting seperti perebutan tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Iklan
"Ini sesuatu yang di luar kemampuan kami.
"Setiap pasukan cuba menyesuaikan diri dengan gelanggang ini.
"Kami juga mencuba gerakan bola mati dan saya percaya semua pasukan akan merakam sesi ini dan menggunakan kesempatan yang ada.
"Apapun, kami terpaksa juga menjalani latihan dan mereka perlu berteka-teki apakah pendekatan kami nanti selain kami sendiri perlu memanfaatkannya," kata Van Huizen.
Malaysia merupakan pilihan utama Kumpulan B yang turut membabitkan pemenang emas lapan kali, Pakistan.
Sesi latihan menyaksikan semua pemain dalam keadaan cergas, termasuk pertahanan, Amirul Aideed Mohd Arshad, yang baru pulih daripada demam, kelmarin.
"Saya tiada misi peribadi melainkan ingin membawa pulang pingat buat Malaysia," kata Amirul.
Sementara itu, pertahanan negara yang juga pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, menganggap tiada masalah buatnya berlatih gerakan itu menjelang pertemuan dengan Kazakhstan, petang esok.
"Tiada tekanan untuk saya berlatih bola mati di sini. Lagipun, di Kuala Lumpur juga kami kerap berlatih mengenainya.
"Kami cuba mendapatkan keserasian padang di sini sahaja.
"Kami akan memberi tumpuan kepada satu persatu perlawanan," katanya lagi.
Must-Watch Video