Skip to main content

Hoki

Hoki Piala Negara-Negara: Pengalaman berguna buat The Speedy Tigers

hoki-arul-selvaraj-razie-rahim.jpg
Pemain hoki negara menimba pengalaman berguna dalam saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 biarpun The Speedy Tigers terpaksa berpuas hati dengan penamat tempat keempat.

Ketua jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj, berkata barisan pemainnya sudah mempamerkan aksi terbaik di sebalik kekangan kehilangan beberapa pemain utama.

The Speedy Tigers tewas 0-4 kepada Korea Selatan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Potchefstroom, Afrika Selatan semalam.

“Walaupun tewas, barisan pemain sudah berusaha keras. Kami kekurangan tenaga kerana tidak cukup untuk melakukan pertukaran pemain.

“Kelemahan ini sangat ketara kerana kami kehilangan tujuh pemain utama dalam kejohanan kali ini manakala beberapa muka baru tidak dapat beraksi dengan baik. Namun, mereka sudah berusaha sebaik mungkin, itu paling penting,” katanya.

Penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman, cemerlang di gawang apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya rangkaian penyerang Korea.

Korea Selatan di depan pada minit ke-22 menerusi gol padang Seo In-woo sebelum Lee Nam-yong menambah gol kedua empat minit kemudian untuk skuad Kimchi mendahului dua jaringan dalam separuh masa pertama.

Pada minit ke-39, Hwang Tae-il menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum pakar pukulan sudut penalti, Jang Jonghyun, melengkapkan kemenangan bergaya Korea Selatan apabila menyumbang gol keempat menuju ke minit akhir perlawanan.

“Kami akan berehat seminggu, pemain yang cedera akan meneruskan sesi pemulihan sebagai persiapan ke Piala Dunia tahun depan.

“Secara keseluruhan, ia adalah kempen yang bagus apabila ada barisan pemain lain berpeluang menimba pengalaman tetapi mereka agak bergelut mengisi posisi penting. Apapun, banyak pengajaran daripada kejohanan ini,” ujar Arul lagi.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video