HOKI
Hoki Piala Asia: Razie yakin Malaysia mampu robek gawang Jepun
Pakar pukulan sudut penalti negara, Razie Abd Rahim, bersedia untuk berdepan dua pelari pertama Jepun dalam misi wajib menang untuk Malaysia layak ke final Kejohanan Hoki Piala Asia di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta petang esok.
Pemain pertahanan itu kini sedang mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 12 gol dan sedang berada dalam kondisi terbaik untuk membantu Malaysia layak ke final.
Skuad negara perlu menewaskan Jepun dengan kelebihan dua jaringan untuk meneruskan kemaraan selepas terikat 2-2 dengan Korea Selatan dan 3-3 dengan India dalam dua aksi pertama peringkat Super 4.
Iklan
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, Razie berkata: "Kami menjangkakan mereka mungkin akan menggunakan dua pelari untuk menghalang pukulan sudut penalti kami.
"Tetapi mereka juga perlu tahu bahawa kami mempunyai pemain-pemain lain seperti Faizal (Saari), Najmi (Farizal Jazlan) dan Shahril (Sabah), yang mempunyai kekuatan sama dengan saya, jadi saya rasa tiada masalah untuk kami menjaringkan gol jika diberikan peluang."
Razie setakat ini telah menjaringkan gol dalam kesemua perlawanan di Jakarta, di mana dia merekodkan hatrik ketika menentang Oman, Bangladesh dan India.
Mengulas mengenai prestasinya ketika ini, pemain berusia 34 tahun itu menambah: "Seperti yang saya katakan sebelum ini, tugas yang diberikan oleh pasukan perlu dipikul dengan sebaik-baiknya.
"Tidak kira saya atau pemain lain, ia merupakan tanggungjawab yang perlu kami lakukan, jadi kami perlu melakukannya dengan sehabis baik untuk memastikan setiap peluang yang kami miliki dimanfaatkan."
Pakar pukulan sudut penalti negara, Razie Abd Rahim senjata utama skuad negara dalam aksi wajib menang berdepan Jepun selasa ini!#Hoki #PialaAsia2022 #RoadtoFINAL @bazlyazmi pic.twitter.com/hiELVizPmb— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) May 30, 2022
Must-Watch Video