Skip to main content

Sukan Asia

Hoki: Nuramirah penyerang masa depan negara

nuramirah.jpg
Nuramirah Shakirah Zulkifli berada di landasan tepat untuk mengambil alih tugas penyerang utama skuad hoki wanita negara selepas meledak gol keempat peribadi dalam Sukan Asia ketika tewas 1-3 kepada Jepun untuk gagal ke separuh akhir di Pusat Hoki Gelora Bung Karno, malam tadi.

Gol Amirah menghidupkan semangat perjuangan Malaysian Tigress selepas ketinggalan dua gol padasatu ketika.

Pemain berusia 17 tahun itu menyumbat gol keempat dalam saingan Sukan Asia dengan pukulan kilas kencang ketika berdepan Jepun, sekali gus menjadi pemain kedua paling banyak menjaringkan gol untuk skuad negara selepas pakar pukulan sudut penalti, Nuraini Abd Rashid.

Apa yang penting, Nuramirah membuktikan dia memiliki potensi besar untuk menjadi penyerang utama pada masa depan.

"Setiap pemain telah memainkan peranan masing-masing dalam perlawanan ini tetapi Malaysia kurang bernasib baik," kata Nuramirah.

"Tiada rezeki buat Malaysia dan kami menerima kekalahan ini. Kami akan berusaha untuk menampilkan permainan cemerlang dalam kejohanan akan datang."

Malaysia melancarkan serangan bertubi-tubi untuk menyamakan kedudukan selepas gol Nuramirah, namun ia telah membuka ruang bahagian pertahanan hingga Jepun dihadiahkan pukulan sudut penalti.

Pakar pukulan sudut penalti Jepun, Hazuki Nagai, melaksanakan tugasnya untuk gol peribadi keduanya dalam perlawanan itu.

"Malaysia memiliki pemain-pemain yang pantas dan saya perlu melakukan pukulan yang kuat untuk menjaringkan gol," kata Nagai.

Advertisement

Must Watch Video