SUKAN ASIA 2018
Hoki: Kesilapan hukum skuad negara
Kapten skuad hoki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, mengakui beberapa kesilapan kecil yang dilakukan ketika menentang Pakistan mengakibatkan mereka dihukum lawan dengan kekalahan 1-4 dalam saingan Kumpulan B, Sukan Asia Indonesia di Padang Hoki, Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.
Skuad negara turun dalam pertemuan itu dengan harapan tinggi susulan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini menentang Kazakhstan, Thailand dan Bangladesh.
Begitupun, ujian sebenar mereka adalah aksi berdepan Pakistan dengan kedudukan juara Kumpulan B menjadi rebutan.
Iklan
Malaysia membuat permulaan yang baik dengan mengekang asakan lawan sekalipun terlebih dahulu dibolosi pada minit kelima.
Gol penyamaan oleh Faiz Helmi Jali dilihat mampu menyemarakkan kebangkitan skuad kendalian Stephen Van Huizen itu tetapi sedikit kesilapan selepas itu nyata membawa padah.
"Kami membuat permulaan baik sehingga suku ketiga. Apabila kami melakukan sedikit kesilapan dan kehilangan dua pemain (kad kuning dan kad hijau), ia membuatkan kami hilang fokus dan mereka menjaringkan gol kedua.
"Ia menaikkan semangat Pakistan tetapi secara keseluruhan, kami membuat sedikit kesilapan sehingga dihukum lawan," kata Sukri.
Sukri menganggap kekalahan itu dapat meningkatkan semula motivasi skuad negara, terutama bagi menghadapi saingan separuh akhir dengan India yang dijangka menjadi tentangan Malaysia.
"Kecewa memang kecewa tetapi ini adalah sukan. Saya perlu memberikan kata-kata semangat kepada pemain, berunding dan berbincang di antara satu sama lain.
"Saya pasti kami akan bangkit. Apa yang penting, apabila pasukan kalah kita jangan berpecah. Kadang-kadang apabila kalah, ia boleh membakar semangat kita," katanya lagi.
Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan dengan pertemuan menentang Oman hari ini.
Must-Watch Video