Skip to main content

Sukan Asia

Hoki: Dhaarma terkilan

dhaarma.jpg
"Puas hati tetapi terkilan," demikian reaksi jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, yang melihat anak buahnya hampir mengejutkan China, namun gol penyamaan 2-2 daripada lawan pada saat-saat akhir membuatkan dia terus berada dalam mimpi.

China turun selaku pasukan pilihan dalam aksi Kumpulan A Sukan Asia Indonesia bertemu Malaysia di Padang Hoki Gelora Bung Karno, semalam. 

Pada awal perlawanan, China cuba mengajar Malaysia untuk membuktikan mereka sebagai pasukan kedua terkuat di peringkat Asia dan ke-11 terbaik dunia menerusi jaringan pembukaan pada minit kesembilan.

Namun, situasi menjadi menarik sebaik Malaysia berjaya mencetak dua jaringan menerusi Hanis Nadiah Onn dan untuk seketika Malaysia memimpin permainan.

"Saya menjangkakan pemain-pemain negara tidak membenarkan lawan meraih banyak ruang. Saya rasa kami mampu mencipta kemenangan tetapi tidak mengapa, keputusan seri tetap sesuatu yang berharga untuk saya.

"Apabila mendahului 2-1, kami lebih berpeluang untuk menang dan kemenangan pastinya memudahkan laluan kami dalam kumpulan yang sukar ini," kata Dhaarma.

Untuk seketika, Dhaarma yakin anak buahnya berjaya mencipta kejutan, namun jaringan penyamaan daripada China menafikan hasrat itu.

Dalam terkilan, Dhaarma tidak dapat menafikan usaha yang dilakukan anak buahnya.

Pengendali itu yakin itulah yang menjadi kelebihan Malaysia dalam saingan Sukan Asia kali ini.

"Sekarang bergantung kepada siapa yang menjaringkan lebih banyak gol dan kami harus fokus dalam aksi berdepan Taiwan.

"Kami perlu menyumbat banyak jaringan, sekiranya kami tunduk di tangan Jepun. Kalau kami seri dengan Jepun dan China tewas di tangan mereka, kami akan layak."

Advertisement

Must Watch Video