Skip to main content

Sukan SEA

Hoki dalam dewan wanita lupakan khidmat bintang hoki padang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki-dalam-dewan-wanita.jpg
Jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara, Yahya Atan, terpaksa melupakan hasrat untuk meminjam beberapa tonggak skuad hoki padang setelah kebanyakan mereka terikat dengan komitmen di luar negara.

Beliau berhasrat untuk memanggil penyerang seperti Hanis Nadiah Onn, Wan Norfaiezah Sayuti dan Raja Nursharina Raja Shahbudin, untuk memperkuatkan skuad hoki dalam dewan wanita menjelang saingan Sukan SEA Filipina 2019, November depan. 

Kehadiran mereka mampu membantu skuad Malaysia yang memburu pingat emas setelah terpaksa berputih mata dua tahun lalu dengan meraih gangsa. 

Bagaimanapun, Yahya terpaksa melupakan hasrat itu kerana mereka bakal berkelana ke Jerman untuk mewakili kelab Wespen Zehlendofer.

"Ada beberapa nama yang saya cadangkan akan beraksi dalam liga di Eropah. 

"Saya tidak dapat menggunakan (khidmat) mereka untuk menjalani latihan bersama kami. 

"Disebabkan kempen mereka akan berakhir Oktober depan, ia sudah terlalu suntuk untuk persiapan Sukan SEA," kata jurulatih itu yang ditemui di Kompleks Sukan MSN Jeonsa, Kampung Baru, semalam. 

Beliau juga menepis dakwaan bahawa barisan pemain yang ada dalam skuadnya merupakan pemain buangan setelah gagal mendapat tempat dalam pasukan hoki padang kendalian Dhaarma Raj Abdullah.

Skuad hoki dalam dewan wanita negara kini mempunyai seramai 14 pelatih dengan hanya 12 orang diperlukan untuk menggalas tugas di Filipina. 

"Kalau berdasarkan umur, kebanyakan mereka terdiri daripada atlet berusia 19 tahun selain dua pemain senior dan dua pemain edisi lepas. 

"Jadi tiada istilah pemain buangan dalam skuad ini," katanya lagi. 



 

Advertisement

Must Watch Video