Perenang muda meningkat naik, Khiew Hoe Yan, ternyata terkejut dengan keputusan dibuat pemegang lima rekod kebangsaan, Welson Sim, yang mengambil keputusan keluar daripada kem kebangsaan.
Ini tatkala kejohanan Terbuka Malaysia hanya kurang tiga minggu sahaja lagi dan pasti akan menimbulkan tanda tanya mengenai penyertaan atlet itu.
Persekutuan Renang Malaysia semalam mendedahkan Welson memilih untuk membawa haluan sendiri dan tidak lagi bersama kem kebangsaan atas faktor mahukan suasana latihan yang baru.
Hoe Yan yang merupakan rakan sepasukan dan pencabar buat jaguh gaya bebas itu ternyata terkejut dengan perkhabaran tersebut dengan menyifatkan Welson merupakan senior yang bagus yang sentiasa cuba memberikan saingan yang sengit baik dalam latihan mahupun pertandingan sebenar.
"Saya berasakan dia memiliki perancangan tersendiri namun saya tetap akan memberikan tumpuan kepada prestasi sendiri," kata Hoe Yan.
"Dia merupakan salah seorang rakan sepelatih dan seorang yang sentiasa memberikan saingan, saya berharap kami akan terus bersaing selepas ini."
Mengenai persiapannya menuju ke Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Mac depan, Hoe Yan masih tidak menetapkan sebarang sasaran terperinci, apatah lagi memikirkan untuk pecahkan sebarang rekod kebangsaan lagi sekali.
Hoe Yan pernah mencipta sensasi tahun lalu apabila memecahkan dua rekod kebangsaan ketika saingan Terbuka Malaysia tahun lalu, dengan memecahkan rekod 800 meter gaya bebas dengan catatan 8 minit 6 saat, serta rekod 23 tahun milik Alex Lim Keng Liat dalam acara 200 meter gaya bebas dengan catatan 2:00.80 saat.
Ammar Hakim
Sat Feb 12 2022