MENEMBAK
Haziq cemerlang dalam Trofi Piala Presiden T H Ally Ong
Atlet menembak negara, Zul Haziq Rosli, hari ini bangkit untuk memenangi pingat emas dalam acara 10 meter air rifle individu Kejohanan Trofi Piala Presiden T H Ally Ong selepas sekadar meraih perak dalam Kejohanan Trofi Tun Hanif bulan lalu.
Haziq, yang mewakili Kuala Lumpur, membidik 240 mata, meninggalkan Muhammad Hafiz Zulkifli dari Selangor dengan perbezaan 0.2 mata dan Muhammad Zubair Muhammad (218.9 mata) yang juga rakan sepasukan.
Sekalipun unggul di tempat pertama, Haziq tetap tidak berpuas hati dengan aksi kali ini sambil menyifatkan prestasinya lebih baik dalam Trofi Tun Hanif dengan catatan 240.9 mata.
Iklan
"Saya belum berpuas hati dengan pencapaian saya hari ini," katanya. "Tetapi saya cuba untuk memberi saingan dan mencapai tahap konsisten daripada segi pungutan markah. Banyak lagi yang perlu diperbaiki."
Bagaimanapun, ia adalah sekadar pemanas badan untuknya beraksi dalam Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) bulan depan.
Dalam pada itu, bekas atlet Program Podium, Muhammad Ezuan Nasir Khan, yang meraih pingat emas dalam Trofi Tun Hanif, beraksi hambar apabila sekadar menduduki tempat keempat dengan 197.7 mata.
Senjatanya yang mengalami sedikit masalah menjadi punca dia beraksi kurang konsisten hingga gagal meraih pingat.
"Saya bergelut untuk mengejar kedudukan. Dalam awal saingan, saya menduduki kedudukan terakhir dan untuk mendapatkan tempat keempat, saya terpaksa membuat pengorbanan," katanya.
Must-Watch Video