Skip to main content

Sukan Asia

Hati saya berkecai -- Kumar

kumar.jpg

Penjaga gol hoki lelaki kebangsaan, S. Kumar, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas tewas di tangan Jepun 3-1 menerusi penentuan penalti dalam final Sukan Asia 2018 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, malam tadi.
 
Penjaga gol berpengalaman negara itu mengakui hatinya berkecai selepas Malaysia, yang pada ketika mendahului 5-2, gagal mempertahankan keputusan itu untuk membenarkan Jepun mengikat kedudukan 6-6 bagi mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.
 
“Apa yang saya mampu untuk katakan lagi, hati saya berkecai. Kita bermain dengan baik untuk mendahului sehingga 5-2 dan saat itu saya sudah fikir kita akan memenangi perlawanan meraih emas dan layak ke Olimpik.
 
“Kita semua (pemain) perlu terima kekalahan ini dan berpuas hati dengan pingat perak. Kita sepatutnya membunuh perlawanan itu tapi mereka (Jepun) berjaya mengejar,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas tamat perlawanan tersebut.
 
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan menamatkan penantian 60 tahun merangkul pingat emas sulung acara hoki lelaki selepas turut kecundang di peringkat sama pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
 
Lebih menyedihkan, kekalahan yang tidak sepatutnya diterima skuad negara ini menyaksikan Malaysia terlepas peluang layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
 
— BERNAMA
 

Advertisement

Must Watch Video