Skip to main content

Permotoran

Hala tuju Hafizh diketahui selepas dua perlumbaan

hafizh-syahrin.jpg
Teka-teki mengenai pasukan mana yang bakal disertai pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mungkin diketahui selepas dia menamatkan dua perlumbaan, iaitu masing-masing di Republik Czech hujung minggu ini dan Austria, 9 hingga 11 Ogos depan.

Hafizh menegaskan dia mahu memberikan tumpuan kepada dua perlumbaan itu selepas berehat panjang selama tiga minggu, sebelum membuat sebarang keputusan berhubung statusnya bersama pasukan Red Bull KTM Tech 3.

"Buat masa sekarang, tidak boleh lagi saya katakan apa-apa sebab saya perlu beri masa sedikit kepada diri saya dan juga penaja kerana ia masih dalam perbincangan.

"Mungkin dalam dua perlumbaan terdekat ini, kita akan dapat tahu apa keputusan saya, ke mana saya pergi," katanya selepas pelancaran FIM Endurance World Championship (EWC) and FIA World Touring Car Cup (WTCR), semalam.

Masa depan Hafizh menjadi tanda tanya apabila pasukannya, Red Bull KTM Tech 3, mengikat kontrak dengan pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder, untuk menggantikan pelumba berusia 25 tahun itu bagi musim akan datang.

Sementara itu, Hafizh berharap pasukannya dapat melakukan sedikit perubahan terhadap jentera yang digunakannya menjelang perlumbaan di Republik Czech dan Austria.

"Saya harapkan pakej yang lebih baik untuk jentera saya, kerjasama dari segi ‘turning’ untuk ‘corner’ jentera saya, buat masa sekarang ini agak sukar untuk saya ada ‘feeling’ dengan motor untuk ‘braking’ dan ‘corner’,” katanya.

Hafizh, yang terkenal dengan jolokan El Pescao, sebelum ini pernah bergelut dengan masalah jentera yang memberi kesan terhadap prestasinya dalam perlumbaan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antaranbangsa Losail, Qatar, Mac lalu.

-- BERNAMA 

Advertisement

Must Watch Video