Skip to main content

Sukan Lain

Hakimi tepati ramalan raih emas

hakimi-ismail.jpg
Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, meraih emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Selangor setelah mencatat lompatan 16.61 meter hari ini.

Ia merupakan catatan peribadi kedua terbaik dalam kariernya.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Perak ini tidak melakukan lompatan sempurna dalam tiga percubaan awal sebelum lompatan terakhir membolehkannya meraih emas.

Kejayaan tersebut dilihat sebagai pembakar semangat buat Hakimi menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Catatan terbaik Hakimi kekal dengan 16.76 meter -- yang dilakukannya ketika Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

"Sebenarnya kejohanan ini medan saya menguji teknik baru. Jadi, awal-awal itu saya bergelut kerana masih membiasakan diri dengan teknik baru itu.

"Bagaimanapun, catatan saya masih belum cukup bagus. Kerana untuk ke Kejohanan Dunia, saya perlu mencatat 16.80m," jelas Hakimi.

Pada masa sama, atlet olahraga, Mohd Izzudin Yahya -- yang meraih emas acara 100 meter, semalam -- meneruskan aksi cemerlang dengan menjuarai acara 200 meter dengan catatan 21.60 saat.

Kejayaan dalam Terbuka Selangor mendorong Izzudin untuk terus merebut tempat dalam saingan 100 dan 200 meter dalam temasya Kuala Lumpur 2017.

"Saya ingin ke Sukan SEA. Ini adalah kejohanan pertama saya tahun ini. Jadi, dalam kejohanan kedua saya di Perlis nanti, saya tahu catatan saya pastinya lebih baik," ujar Izzudin.

Advertisement

Must Watch Video