Skip to main content

Permotoran

Hafiz terlepas aksi di Teluk Intan

18517hafiznorazman.jpg
Hafiz Nor Azman disahkan masih belum cergas sepenuhnya dan bakal terlepas perlumbaan CP150 dalam pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Teluk Intan, Perak pada Sabtu dan Ahad ini.

Pelumba SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing itu patah bahu kiri setelah terjatuh sewaktu sesi latihan bebas kedua dalam pusingan ketiga di Kemaman, Terengganu, dua minggu lalu.

Meskipun semakin pulih, doktor yang merawat Hafiz menasihatkan agar pelumba berusia 21 tahun itu tidak turun ke litar dalam saingan minggu ini.

"Saya menerima rawatan segera setelah terjatuh di Kemaman dan tangan saya sudah semakin pulih.

"Saya sebenarnya yakin dapat beraksi di Teluk Intan, namun setelah melakukan pemeriksaan, doktor yang merawat menasihatkan saya agar berehat dan tidak beraksi pada minggu ini," kata pelumba kelahiran Perak itu.

"Nasihat serupa juga saya terima daripada pasukan yang menasihatkan saya untuk berehat. Kalau bercakap tentang kecewa, sudah tentu saya berasa sangat kecewa dan sedih tetapi saya terpaksa akur untuk kebaikan masa akan datang. Tambahan perlumbaan minggu ini berlangsung di halaman sendiri.

"Sebenarnya, saya berharap dapat meraih keputusan yang baik pada minggu ini untuk menebus kegagalan dalam pusingan pertama  di Temerloh. 

"Aksi pada peringkat awal musim setakat ini tidak begitu baik, saya hanya mengutip tujuh mata dan berada di tangga ke-14 keseluruhan. 

"Selepas ini, kejuaraan akan berehat panjang dan kembali bersambung Julai nanti. Saya perlu mengekalkan kecergasan dan meraih keputusan terbaik dalam baki enam pusingan akan datang." tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video