Skip to main content

Sukan Lain

Griezmann tidak akan rampas tempat Coutinho di Barcelona, kata ejennya

coutinho.jpg
Antoine Griezmann tidak akan menggantikan Philippe Coutinho di Barcelona pada akhir musim ini, menurut ejen pemain Brazil itu.

Sungguhpun menikmati permulaan karier yang memberangsangkan di Barca, Coutinho gagal menjelmakan prestasi terbaiknya seperti ketika di Liverpool sehingga melibatkan perpindahan bernilai €160 juta (RM747.6j), Januari tahun lalu. 

Musim ini, pemain Brazil itu hanya menyumbat lima gol dalam 34 penampilan LaLiga selain gagal merebut kesebelasan utama dengan 12 penampilannya hadir dari bangku simpanan.

Justeru, beberapa kali Coutinho menjadi sasaran ejekan penyokong Barca dalam beberapa bulan kebelakangan ini sementara media mengaitkannya dengan perpindahan. 

Tindakan Griezmann semalam yang mengumumkan akan meninggalkan Atletico Madrid meningkatkan lagi spekulasi masa depan Coutinho, namun ejennya yakin pemain Perancis berkenaan, yang berpotensi menyertai Barca, tidak akan menggugat kedudukan Coutinho. 

"Adalah tidak benar bahawa Griezmann akan menggantikan Philippe di Barcelona," kata Andrea Bertolucci kepada AS.

"Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian, saya tidak tahu mengenainya dan itulah sebabnya saya tidak mahu bercakap mengenainya lagi, tetapi berita itu tidak benar."

Coutinho memeterai kontrak di Camp Nou sehingga 2023 dan dikatakan menarik minat Manchester United yang berhajat membentuk pasukan berwajah baru.

Advertisement

Must Watch Video