Skip to main content

Hoki

Great Britain juara, Malaysia akhiri saingan di kedudukan kelima

hoki-malaysia_4.jpg
Walaupun perlawanan tergendala sementara ekoran hujan lebat, namun ia tidak menyekat anak buah Stephen Van Huizen untuk melakar kemenangan 3-1 ke atas Jepun dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), hari ini.

Kemenangan tersebut memastikan maruah negara terbela apabila tidak menamatkan kejohanan enam pasukan itu di kedudukan tercorot.

The Malaysian Hockey Tigers membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti Haziq Samsul.

Tiga minit kemudian, Malaysia selesa di depan dengan gol kedua, kali ini menerusi gol padang Firhan Ashaari.

Bagaimanapun, Jepun bangkit merapatkan jurang dengan gol padang Kaito Tanaka pada minit ke-28.

Berpunca daripada bola muntah, Tanaka bijak membuat pukulan rendah menewaskan S. Kumar di gawang.

Enggan membenarkan Jepun terus mara, Faizal Saari mengesahkan kemenangan Malaysia dengan gol ketiga pada minit ke-34 menerusi pukulan sudut penalti.

Sementara itu, pertembungan final berlangsung tidak mengecewakan apabila Great Britain berjaya menumbangkan pasukan pilihan, Australia, 4-3.

Kemenangan tersebut membawa makna besar kepada skuad kendalian Bobby Crutchley itu untuk Great Britain menamatkan penantian selama 23 tahun untuk bergelar juara  di pentas Piala Sultan Azlan Shah, selepas kali terakhir melakukannya dalam edisi 1994.

Kredit foto: Laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia 

Advertisement

Must Watch Video