TENIS
Grand Slam Terbuka Perancis: Swiatek ikrar jadi jaguh mutlak
Juara Tenis Terbuka Perancis, Iga Swiatek, memasang impian menjadi pencabar gelaran utama wanita yang tekal.
Pemain Poland itu menyempurnakan malam gemilangnya di Roland Garros dengan merangkul gelaran itu awal pagi tadi selepas mengetepikan juara Terbuka Australia, Sofia Kenin, dalam perlawanan akhir di Paris.
Swiatek tidak tercicir satu set pun dalam tujuh perlawanan yang merangkumi pilihan kejohanan, Simona Halep, dan finalis 2019, Marketa Vondrousova.
Iklan
Penampilan pemain berusia 19 tahun itu seakan ditakdirkan untuk mengecapi masa depan yang cerah sebaik dia mula menikmati kejayaannya berkenaan dan dia menjangkakan penguasaan dalam Jelajah WTA.
Dengan juara 23 kali gelaran utama, Serena Williams, tidak memenangi grand slam sejak Terbuka Australia 2017, persaingan kategori wanita agak terbuka berbanding lelaki yang memiliki barisan jaguh handalan seperti Rafael Nadal, Roger Federer dan Novak Djokovic.
"Saya tahu permainan saya masih belum berkembang dengan sempurna," kata pemain nombor 54 dunia itu selepas melakar kemenangan 6-4, 6-1 ke atas Kenin.
"Saya rasa perubahan terbesar bagi saya adalah ketekalan dan inilah yang sedang diperjuangkan oleh tenis wanita.
"Itulah sebab munculnya ramai pemenang grand slam yang baru dalam kategori wanita kerana prestasi kami tidak tekal seperti Rafa, Roger dan Novak. Matlamat saya ialah untuk menjadi pemain yang tekal.
??It's hard to describe how special this day is for me. It's so strange to achieve something that seemed so distant... But yup... It's here - I'm a grand slam champion (whaaat?). Thank you @SofiaKenin for this final. I wish you all the best.?? #RolandGarros pic.twitter.com/ktIShQZLnj— Iga Świątek (@iga_swiatek) October 10, 2020
"Bukan mudah untuk mencapainya. Sekarang, buat sementara ini saya adalah juara grand slam di sini. Saya hanya mahu menikmati detik ini, kemudian barulah saya akan memikirkan masa depan.
"Saya bangga dengan kejayaan diri sendiri. Saya telah melaksanakan tugas yang hebat sepanjang dua minggu lalu. Saya tidak menyangka akan memenangi trofi ini. Ia jelas sesuatu yang mengagumkan bagi saya. Saya rasa seperti telah melakar sejarah.
"Saya tahu bidang ini tiada batasannya. Walaupun anda masih mentah dan 'underdog', anda masih boleh melakukan banyak perkara dalam sukan seperti tenis ini."
Must-Watch Video