Spekulasi mengenai keberadaan Cristiano Ronaldo akhirnya terjawab apabila bintang Portugal itu disahkan masih berada di Arab Saudi bersama kelabnya, Al-Nassr FC.
Tanda tanya tercetus selepas jet peribadi mewah miliknya dilaporkan meninggalkan negara itu pada tengah malam Isnin, ketika konflik di rantau Timur Tengah semakin memuncak.
Advertisement
Namun, Al-Nassr memuat naik gambar Ronaldo di pusat latihan kelab pada Selasa, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa beliau telah meninggalkan Arab Saudi.
The work resumes at Nassr 🔙💛
pic.twitter.com/EHe329pcAW— AlNassr FC (@AlNassrFC_EN) March 2, 2026
Walaupun isu keberadaannya sudah terjawab, Ronaldo kini berdepan masalah lain apabila disahkan mengalami kecederaan hamstring.
Dalam kenyataan ringkas di media sosial, Al-Nassr memaklumkan, “Cristiano Ronaldo didiagnosis mengalami kecederaan hamstring selepas perlawanan terakhir menentang Al-Fayha. Dia telah memulakan program pemulihan dan akan dinilai dari hari ke hari.”
Ronaldo sebelum itu terpaksa dikeluarkan ketika Al-Nassr mencatat kemenangan 3-1 ke atas Al-Fayha FC Sabtu lalu.
Kecederaan otot itu menimbulkan kebimbangan memandangkan kalendar antarabangsa semakin padat dan kejohanan utama dunia semakin hampir.
Dalam perkembangan berkaitan, aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) antara Al-Nassr dan Al-Wasl FC turut ditangguhkan susulan ketegangan keselamatan di rantau berkenaan.
Ibu kota Arab Saudi, Riyadh, yang menjadi tempat tinggal Ronaldo bersama pasangannya Georgina Rodriguez dan lima anak mereka, dilaporkan menjadi sasaran serangan dron dalam konflik yang semakin meruncing.
Situasi itu menyaksikan ramai warga asing meninggalkan rantau Timur Tengah, sekali gus mencetuskan spekulasi apabila pesawat peribadi Ronaldo dilaporkan terbang ke Madrid.
Menurut data penjejakan penerbangan, pesawat jenis Bombardier Global Express itu berlepas sekitar jam 8 malam waktu Arab Saudi dan tiba hampir jam 1 pagi waktu Sepanyol, melalui laluan Mesir dan Laut Mediterranean.
Buat masa ini, Ronaldo dijangka memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan, sementara Al-Nassr menunggu perkembangan lanjut berhubung jadual perlawanan yang terjejas akibat konflik geopolitik di Timur Tengah.