Pemain golf profesional, Ervin Chang, menerima suntikan semangat untuk menghadapi Terbuka Malaysia yang juga kejohanan pembukaan musim Jelajah Asia pertamanya secara penuh bermula Khamis ini.

Ia susulan Ervin diumumkan sebagai duta jenama Kumpulan CIMB menerusi satu perjanjian penajaan yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di ibu negara hari ini.

Menerusi penajaan ini, pemenang dua pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021 itu kini sebaris dengan ikon sukan negara Datuk Azizulhasni Awang dan Datuk Nicol David.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pengguna dan Perbankan Digital Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid.

Ervin merupakan antara perintis Program Pembangunan Golf Remaja CIMB pada 2010 dan usaha ini secara tidak langsung membuktikan CIMB komited dalam menyokong bakat sukan tempatan.

"Saya gigih menjalani persiapan termasuk aspek mental agar dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik.





"Sebenarnya saya sudah bersedia sejak dua minggu lalu lagi.

"Saya perlu berdepan pemain yang lebih berpengalaman -- baik pemain antarabangsa termasuk pemain tempatan," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.