Skip to main content

Sukan Lain

Golf Masters: Woods lengkapi kebangkitan dengan kejuaraan kelima

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tigerwoods_1.jpg
Tiger Woods menyempurnakan salah satu kebangkitan terhebat dalam sejarah kesukanan dan mencetuskan keterujaan besar di Augusta National dengan memenangi kejohanan Masters untuk meraih kejuaraan utama yang pertama selepas hampir 11 tahun, awal pagi tadi.

Saingan pusingan akhir yang luar biasa – diawalkan gara-gara kebimbangan terhadap cuaca buruk – berkesudahan dengan Woods mengungguli kedudukan pendahulu dengan satu pukulan pada jumlah 13 bawah par dengan catatan 70.

Kini dengan 15 kejuaraan utama, Woods berada dua di belakang Francesco Molinari pada permulaan pusingan keempat itu tapi dia berupaya menterbalikkan keadaan buat pesaing dari Itali itu, yang menemui kolam pada lubang 12 dan 15, di samping menenggelami pencabar lain dalam kemuncak mengasyikkan. 

Xander Schauffele, Dustin Johnson dan Brooks Koepka berkongsi tempat kedua pada 12 bawah par, dengan Molinari – yang mendahului dua pukulan ketika berbaki tujuh lubang – satu pukulan di belakang untuk berkongsi tempat kelima bersama Jason Day, Webb Simpson dan Tony Finau.

Namun, tiada keraguan bahawa pusingan keempat itu adalah milik Woods – yang tidak pernah menang satu kejuaraan utama daripada kedudukan ketinggalan menuju ke pusingan terakhir – yang masih mampu tampil juara kalau pun melakukan bogey di lubang 18.

Lantaran itu, bolehlah difahami mengapa Woods benar-benar meraikan kejayaannya selepas membenam putt yang menjamin kemenangan sambil penonton di sekeliling green turut menyambutnya seperti orang dirasuk.

Ketika Woods kali terakhir memenangi kejuaraan utama dalam Terbuka Amerika Syarikat 2008, dia kelihatan hampir pasti untuk mengatasi rekod Jack Nicklaus dengan 18 gelaran utama dalam acara strokeplay.

Bagaimanapun, satu kemarau panjang gelaran menyusul sambil dia bergelut dengan satu siri kecederaan serius di samping reputasinya musnah oleh pendedahan mengenai kehidupan peribadinya.

Sebaru November 2017, Woods sekadar mengisi ranking ke-1,199 dunia di sebalik pengakuannya dua bulan sebelum itu bahawa dia mungkin tidak akan bermain secara profesional lagi susulan pembedahan keempat terhadap belakangnya.

Woods, bagaimanapun, mengatasi jangkaan musim lalu dengan bersaing hebat menghampiri dua gelaran utama sebelum meraih kemenangan pertamanya dalam tempoh lima tahun dalam Tour Championship, dan kepulangannya yang menakjubkan dalam saingan tertinggi kini lengkap.

Tatkala tekanan memuncak awal pagi tadi, dengan beberapa pemain kembali dalam perebutan kejuaraan, Woods menemui tiga birdie dalam empat lubang dari lubang 13 untuk membuka pendahuluan dua pukulan.

Lima pemain -- Woods, Molinari, Koepka, Schauffele dan Johnson – berkongsi pendahuluan sambil kumpulan terakhir bermain di lubang 15 tetapi Woods menegatasi semua mereka. Pukulan teenya di lubang 16 hampir menghasilkan hole-in-one, yang harus menambah lagi perisa kejayaannya.

Di sebalik segala tumpuan ke atas Woods, sukar untuk tidak bersimpati dengan Molinari, yang memenangi Terbuka British tahun lalu ketika dipasangkan dengan Woods dalam pusingan terakhir.

Molinari gagal menemui permainan terbaiknya kali ini. Di sebalik keupayaannya untuk kekal di depan, dengan memanjangkan rentetan tanpa sebarang bogey kepada 49 lubang, segalanya terlerai dalam sembilan lubang terakhir untuk dia mencatat 74.

Johnson dan Schauffele mencatat 68 dalam pusingan terakhir itu sambil Koepka menyudahkannya dengan 70 tatkala Day melakukan catatan terbaik dengan lima bawah par 67.

Malah, pada satu ketika, Patrick Cantlay berseorangan mendahului selepas melakukan eagle di lubang 15 tapi disusuli bogey di dua lubang berikutnya untuk berkongsi tempat kesembilan dengan Jon Rahm dan Rickie Fowler.

Pada akhirnya, tiada apa-apa yang mampu meragut detik gemilang Woods pada satu hari yang akan kekal lama dalam ingatan.

Kedudukan terakhir:
-13: Tiger Woods
-12: Dustin Johnson, Brooks Koepka, Xander Schauffele 
-11: Tony Finau, Francesco Molinari, Webb Simpson, Jason Day 
-10: Rickie Fowler, Patrick Cantlay, Jon Rahm

Advertisement

Must Watch Video