Skip to main content

Sukan Lain

Golf Masters: Woods hanya satu di belakang lima pemain berkongsi pendahulu

tiger-woods.jpg
Tiger Woods kembali dalam persaingan untuk satu lagi gelaran Masters dengan ketinggalan cuma satu pukulan daripada kelompok pendahulu selepas pusingan kedua di lapangan Augusta National, awal pagi tadi.

Bekas pemain nombor 1 dunia itu, bagaimanapun, menimbulkan gempar seketika setelah dilihat terhincut-hincut gara-gara seorang pengawal keselamatan terlanggarnya secara tidak sengaja dalam saingan pusingan kedua yang dramatik itu.

Francesco Molinari, Jason Day, Brooks Koepka, Adam Scott dan Louis Oosthuizen berkongsi kedudukan pendahulu dengan jumlah tujuh bawah par – satu rekod paling ramai pemain berkongsi kedudukan itu dalam saingan Masters selepas 36 lubang.

Dalam pada itu, Woods yang menjadi bualan utama dengan melonjakkan dirinya ke dalam persaingan selepas mencetuskan cemas di lubang 14 apabila seorang pengawal keselamatan terlanggarnya ketika cuba mengawal penonton hingga hampir menjatuhkan pemain itu.

Woods sebelum itu mengagumkan ramai dengan memukul keluar dari celah-celah pokok pine untuk mencatat birdie di lubang berkenaan, disusuli satu lagi di lubang 15 untuk kembali ke rumah kelab dengan enam bawah par.

Sayang sekali pendekatan cemerlangnya di lubang 17 dan 18 gagal memberikannya birdie gara-gara kegagalannya membenam putt dari jarak kurang 10 kaki tetapi dia masih boleh berpuas hati dengan catatan 68 yang mengekalkannya dalam pemburuan untuk jaket hijau kelima dan kejuaraan utama ke-15.

Petanda-petanda ke arah itu seakan-akan semakin ketara untuk satu lagi kejayaan buat Woods yang minggu ini mengenakan baju berkolar ‘mock turtleneck’ – jenis yang dipakainya ketika kali terakhir bergelar juara di Augusta pada 2005.

Cuma bezanya, lima pemain yang berkongsi kelompok pendahulu kali ini semuanya pernah meraih kejuaaraan utama dan masing-masing akan berkeyakinan untuk menafikan Woods kejuaraan utama pertamanya sejak Terbuka Amerika Syarikat 2008.

Oosthuizen mencatat pukulan kedua terendah dalam pusingan kedua itu – satu mengatasi Molinari dan Day.

Scott (68) pada satu ketika berada di kedudukan lapan bawah par dengan meraih eagle di lubang 15 tetapi dikecewakan bogey di lubang berikutnya.

Xander Schauffele adalah satu-satunya pemain yang mengatasi catatan Oosthuizen dengan catatan 65 untuk menyertai Woods, Justin Harding (69) dan Dustin Johnson (70) pada jumlah enam bawah par.

Ian Poulter (71) dan Jon Rahm (70) cuma satu pukulan di belakang, dengan Phil Mickelson (73) dalam kalangan pemain yang berada tiga pukulan di belakang pendahulu.

Kedudukan pendahulu:
-7: Francesco Molinari, Jason Day, Brooks Koepka, Adam Scott, Louis Oosthuizen. 
-6: Dustin Johnson, Justin Harding, Xander Schauffele, Tiger Woods.
-5: Jon Rahm, Ian Poulter.
-4: Charles Howell III, Patton Kizzire, Matt Kuchar, Phil Mickelson.
-3: Correy Conners, Kiradech Aphibarnrat, Bryson DeChambeau, Justin Thomas, Rickie Fowler, Gary Woodland, Tony Finau.

Advertisement

Must Watch Video