GOLF
Golf Masters Selangor: Tawit Polthai muncul juara
Dominasi benua Asia Tenggara khususnya dari Thailand berterusan sehingga hari terakhir saingan apabila tiga wakil Thailand menghuni kedudukan empat terbaik bagi saingan Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2025 edisi kali ini.
Lebih menarik, Tawit Polthai menamatkan kemarau kejuaraan di Jelajah Pembangunan Asia (ADT) yang berlarutan lebih sedekad yang lalu apabila muncul juara selepas mengharungi empat pusingan dengan catatan 268 pukulan, 16 di bawah par.
Polthai hadir di Kelab Seri Selangor dengan misi peribadi untuk menunaikan hajat yang tertangguh sejak 2023 -- di mana ketika itu, pemain berusia 31 tahun itu terlepas mahkota kejuaraan pada saat akhir ekoran deretan kesilapan individu yang membuatkan dirinya sekadar menamatkan saingan di tempat keempat.
Iklan
Dua tahun beralu, mimpi ngeri itu menjadikan Polthai pemain yang lebih teliti -- khususnya apabila melibatkan hari terakhir saingan -- enggan senario sama berulang, Polthai memperagakan permainan yang mudah tanpa menggambil risiko besar -- untuk merekodkan enam birdie.
Tempat kedua jadi milik Juvic Pagunsan dari Filipina tatkala Poom Pattaropong di tempat ketiga.
Tumpuan turut diberikan terhadap pemain remaja negara, Muhammad Hariz Muhammad Hezri, yang diangkat sebagai pemain amatur terbaik Selangor Masters 2025.
Hariz menamatkan saingan selepas empat pusingan dengan keputusan keseluruhan, 280 pukulan, empat di bawah par untuk menghuni kedudukan ke-11 bersama pemain profesional Korea Selatan, Min Wook-gwon.
Hariz merupakan salah seorang daripada 11 pemain amatur yang beraksi di Selangor Masters edisi tahun ini -- dan hanya empat pemain amatur berjaya beraksi sehingga hari terakhir kejohanan.
Ini bermakna, penampilan dan percubaan terbaru Hariz membuahkan hasil sehingga mengukuhkan statusnya sebagai antara prospek utama skuad negara.
Sementara itu, berita baik buat pencinta sukan golf negara apabila Kerajaan Negeri Selangor serius untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan berstatus ADT seperti Selangor Masters pada masa akan datang.
Jaminan itu disuarakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari demi membuka peluang buat pemain negara peluang beraksi di kejohanan peringkat tertinggi di Asia itu.
Jika pemain tempatan beraksi secara konsisten di Kejohanan Jelajah Asia -- ianya akan memberi kesan domino positif -- contoh terbaik seperti negara jiran, Thailand yang menjadi kuasa besar dalam sukan golf di Asia Tenggara.
Must-Watch Video