Skip to main content

Sukan Lain

Golf Masters: Ia sesuatu yang tidak akan saya lupakan -- Woods

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tiger-woods.jpg
Tiger Woods berkata kejayaan menamatkan kemarau kejuaraan Masters merupakan sesuatu yang tidak akan dilupakannya.

Bintang Golf Amerika Syarikat (AS), Woods, menamatkan penantian 11 tahun untuk menjulang kejuaraan utama selepas meraih kemenangan satu pukulan dalam Kejohanan Masters, awal pagi tadi.

Woods tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan utama sejak 2008, namun perkara itu berubah di Augusta di mana pemain berusia 43 tahun itu mencatat dua bawah par untuk muncul juara keseluruhan.

Woods meraikan kejuaraan utamanya yang ke-15 itu dengan menulis di laman Twitter: "Saya tidak dapat cukup berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat saya kerana sokongan mereka.

"Dengan adanya keluarga di samping saya hari ini, ia merupakan sesuatu yang saya tidak akan lupakan.

"Bukan hanya kerana dapat kembali beraksi tetapi juga dapat kembali meraih kejuaraan.

"Ia sesuatu yang tidak akan saya lupakan dan saya bersyukur terhadap kejayaan ini.

"Jaket ini sudah pasti amat selesa untuk dipakai," katanya.

Karier Woods sebelum ini tergugat kerana kecederaan dan isu-isu di luar lapangan, namun pemain veteran itu -- yang menyarung jaket Masters kelimanya -- melengkapkan kebangkitan yang akan diingati, awal pagi tadi.

"Saya amat ragu-ragu selepas apa yang terjadi sepanjang beberapa tahun lalu.

"Saya tidak dapat berjalan, tidak dapat duduk dan tidak dapat melakukan apa-apa," tambah Woods dalam sidang media.

"Nasib baik saya menjalani pembedahan belakang yang memberikan saya peluang untuk hidup secara normal.

"Namun, ia berlaku sekelip mata dan saya sedar yang saya sebenarnya masih boleh menghayunkan kayu golf.

"Saya fikir saya mungkin boleh melakukannya memandangkan saya masih memiliki dua tangan untuk melakukannya.

"Badan saya tidak seperti dulu, namun saya masih memiliki dua tangan yang hebat," tambahnya.

Woods memeluk keluarganya dalam waktu yang penuh beremosi ketika dia menamatkan penantian kejuaraan yang telah lama dinanti-nantikan itu.

"Ia amat bermakna buat saya, keluarga saya, kejohanan ini dan untuk memiliki semua yang berada di sini.

"Ia merupakan sesuatu yang tidak akan saya lupakan.

"Saya fikir anak-anak saya sudah mula memahami betapa bermaknanya kejuaraan ini buat saya dengan apa yang telah saya lakukan sepanjang kejohanan ini.

"Sebelum saya kembali bermain, mereka hanya menganggap golf sebagai sesuatu yang memberikan kesakitan buat saya.

"Saya sudah menjalani pembedahan di mana ia tidak akan lagi menganggu saya dan saya mampu untuk sekali lagi melakar kejayaan.

"Jadi, anda tahu, kami sedang mencipta kenangan baru untuk mereka dan ia teramat istimewa," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video