Skip to main content

Sukan Asia

Gimrama: Pengalaman berharga jadi bekalan ke Kejohanan Dunia

izzah-amzan.jpg
Masih ada jurang yang cukup besar di antara atlet gimrama negara di pentas Sukan Asia Jakarta-Palembang selepas hanya Izzah Amzan dapat menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik aksi final individu all around di Pusat Expo Antarabangsa Jakarta, Kemayoran, hari ini. 
 

Izzah dan Koi Sie Yan mempamerkan aksi lebih bertenaga dalam aksi final berbanding di peringkat kelayakan semalam yang menyaksikan mereka menempatkan diri di kedudukan ke-14 dan 15. 

Izzah mengumpul 54.600 mata dalam empat apparatus gegelung, belantan, bola dan reben untuk menduduki tempat ke-10 sementara Sie Yan (53.550 mata) di tangga ke-12. 

Secara keseluruhan, ia satu pencapaian memuaskan untuk untuk skuad gimrama negara dalam penyertaan sulung Sukan Asia apabila berkesempatan bersaing dalam kalangan jaguh handalan rantau Asia yang lain. 

"Persembahan hari ini lebih baik daripada semalam manakala markah yang dikutip juga lebih tinggi. 

"Saya dan jurulatih berpuas hati dengan rutin yang dilakukan. 

"Saya menimba pengalaman berharga di sini dan boleh dijadikan persiapan terbaik untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Bulgaria, minggu depan," kata Sie Yan. 

Sementara itu, Izzah, menganggap pentas Sukan Asia menawarkan pengalaman hebat buatnya terus memperbaiki kemampuan pada masa akan datang.

"Persembahan bertambah baik berbanding semalam. 

"Ada kesilapan kecil dibuat tadi tetapi secara keseluruhannya, kesemua aspek dalam apparatus perlu ditingkatkan lagi,"  katanya. 

Emas dimenangi peserta Kazakhstan, Alina Adilkhanova, disusuli atlet Uzbekistan, Sabina Tashkenbaeva, dan wakil China, Zhao Yating.
 

Advertisement

Must Watch Video