Skip to main content

Hoki

Gagal ke Piala Dunia, Subahan sedia lepas jawatan presiden

subahan-130517.jpg
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengumumkan akan meletak jawatan andai skuad lelaki negara gagal melepasi separuh akhir Liga Dunia di London, England, bulan depan yang juga merupakan kelayakan Piala Dunia 2018.

Subahan tegas dengan pendirian untuk meninggalkan KHM jika misi di London gagal.

Ia mencerminkan sikap matang pemimpin sukan negara itu selepas dua tahun menerajui badan induk itu.

Beliau mengumumkan keputusan terbabit selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KHM.

"Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya adalah memastikan kami layak ke Piala Dunia 2018 secara merit dan Sukan Olimpik 2020.

"Sekiranya skuad lelaki negara gagal dalam kelayakan Piala Dunia, Jun depan, maka saya berasakan adalah lebih adil untuk kita memilih seorang ketua yang baru setelah segala usaha yang lakukan.

"Kalau kami gagal layak ke Piala Dunia, macam mana kita mahu layak ke Olimpik?" katanya sambil menyatakan pendirian enggan menanti kelayakan ke Olimpik.

Skuad hoki negara kendalian Stephen Van Huizen meraih tangga kelima dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, minggu lalu.

The Malaysian Hockey Tigers yang kini menduduki ranking ke-14 dunia, memilih hanya berlatih di dalam negara sebelum berlepas ke London pada 7 Jun depan untuk mengadakan aksi persahabatan menentang Kanada, skuad pembangunan England dan Wales.

Malaysia akan memulakan kempen separuh akhir Liga Dunia menentang Argentina selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Malaysia layak ke Piala Dunia 2014, namun menamatkan cabaran di tangga tercorot.

"Presiden tidak berseorangan, kami bersama-sama menyokongnya.

"Saya amat bangga dengan persembahan pasukan lelaki negara dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah, terutama dalam dua aksi terakhir.

"Kami begitu berkeyakinan akan layak ke Piala Dunia dan mereka tidak akan menghampakan kami," kata Naib Presiden Kanan KHM, Profesor S Shamala.

 

Advertisement

Must Watch Video