Skip to main content

Hoki

Final Siri Hoki Dunia: Sasaran skuad kebangsaan tidak berubah

taeke-takema,.jpg
Pengurus Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Brian Fernandez, kecewa dengan pendirian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menolak permohonan penggunaan sistem video rujukan pengadil yang boleh menjejaskan peluang skuad kebangsaan dalam pusingan akhir Siri Hoki Dunia 2019, bermula 26 April ini.

"Ia bukan sesuatu yang mengejutkan, lagipun masa sudah suntuk tetapi kami tetap mahu mengemukakan rayuan. 

"Apapun, keputusan FIH sudah diduga," katanya. 

Begitupun, Brian mendakwa sasaran Malaysia untuk menjuarai Kumpulan B, Final Siri Hoki Dunia yang turut menempatkan Brazil, China dan Itali tidak berubah.

"Kalau anda tanya jurulatih negara (Roelant Oltmans) sekalipun, sasaran kami adalah tetap mahu muncul juara.

"Selepas ini, kami akan menghantar satu lagi surat untuk memohon FIH supaya mengekalkan penggunaan video rujukan pengadil kerana ia membabitkan kejohanan tahap tinggi," ujarnya. 

Sementara itu, kelibat jurulatih pukulan sudut penalti dari Belanda, Taeke Takema, mencuri tumpuan dalam sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini. 

Pengendali kelahiran Belanda itu baru tiba di Malaysia dengan sasaran untuk meningkatkan ketajaman pukulan sudut penalti negara sehingga 35 peratus.

Sentuhannya diharap dapat membantu pakar negara, Muhammad Razie Abd Rahim, Faizal Saari dan Najmi Farizal Jazlan, selain pemain yang akan terbabit dengan gerakan itu.

"Kehadirannya banyak membantu dan pemain negara menunjukkan banyak peningkatan," kata penyerang negara, Nor Syafiq Sumantri. 

Penyerang muda negara, Azrai Aizad Abu Kamal, juga menyambut langkah FIH itu dengan berkata:  "Pemain dapat menimba pengalaman di bawah jurulatih baru, langkah ini membantu (persembahan pemain)."

Sesi latihan itu turut menyaksikan kelibat jurulatih penjaga gol, Martijn Drivjer, dengan sasaran membantu Malaysia menjuarai Final Siri Hoki Dunia yang menawarkan tiket ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Advertisement

Must Watch Video