Skip to main content

Sukan Lain

Final Siri Hoki Dunia: Oltmans sedia tampung kehilangan Sukri, Kumar

hoki-malaysia.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, sudah bersedia dengan pelan B sekiranya ketua pasukan, Sukri Mutalib, dan penjaga gol, S Kumar, tidak sempat pulih untuk menghadapi Kejohanan Final Siri Hoki Dunia 2019 hujung bulan ini sebagai kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad hoki negara memulakan sesi latihan di Bukit Jalil semalam selepas meraih tangga ketiga Piala Sultan Azlan Shah 2019. 

Seramai 26 pemain melaporkan diri dengan beberapa tonggak seperti Sukri tidak dapat menyertai sesi latihan penuh ekoran patah jari sementara Kumar menjalani proses rawatan kecederaan hamstring di Institut Sukan Negara (ISN).

Mereka masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya sebelum menghadapi Final Siri Hoki Dunia yang bermula 26 April ini.

"Masih sukar untuk menyatakan situasi mereka ketika ini memandangkan mereka masih perlu mendapatkan rawatan pakar dalam tempoh beberapa minggu ini.

"Berdasarkan situasi itu, kami akan menilai adakah realistik untuk menyenaraikan mereka dan ketika ini, saya menganggap mereka mungkin tidak dapat beraksi," katanya. 

Dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), tempat Sukri diambil alih pertahanan muda, Muhammad Arif Syafie Ishak, sementara penjaga gol simpanan, Hairi Abd Rahman, beraksi baik selaku benteng terakhir.

Malaysia akan menguji Wales dalam aksi 23 April ini menjelang kempen Final Siri Hoki Dunia. 

"Tidak, saya tidak mahu kami mengadakan lebih daripada satu perlawanan ujian. 

"Pada ketika ini, kami perlu mengadakan latihan sekerap yang boleh," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video