PIALA SAS
Final PSAS: Jaringan padang tingkat keyakinan The Speedy Tigers
Sejak dua tahun lalu, pelbagai perubahan yang cuba diketengahkan Arul Selvaraj sebaik menggemudi skuad hoki negara bagi menggantikan Roelant Oltmans.
Sejak itu jugalah, kualiti permainan hoki moden yang diterapkan diterjemahkan di atas padang untuk menghasilkan keputusan positif tetapi kejayaan sering kali mengkhianati usaha jitu The Speedy Tigers, misalnya ketika final Piala Asia di Jakarta.
Dan antara pemain yang memiliki wibawa bagi menggalas ideologi taktikalnya dengan sepenuh jiwa dan raga termasuklah Meor Muhamad Azuan memiliki daya kebolehan menakjubkan apabila ditugaskan untuk menghubungkan pergerakan bola ketika menyerang dan bertahan.
Iklan
Selaku pemain tengah bertahan di samping Faiz Helmi Jali dalam Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) Edisi Ke-29 -- Meor Muhamad Azuan muncul antara pencetus kebangkitan skuad negara dalam tiga perlawanan terakhir menerusi bola hantaran yang membelah barisan pertahanan lawan.
Selepas lima aksi liga sepusingan yang membawa Malaysia ke final-- 10 gol padang direkodkan skuad negara dan ia juga didorong kelibat Meor Azuan menggawal tempo permainan.
"Saya dan Faiz Helmi sudah bermain bersama sejak peringkat remaja lagi.
"Di bawah bimbingan Arul, kami bermain sebagai pemain tengah bertahan, jadi kami banyak berbincang dan berkomunikasi baik sebelum dan selepas perlawanan.
"Prestasi penyerang negara ketika ini adalah terbaik memandangkan kami menghasilkan jaringan daripada pukulan sudut penalti dan gol padang.
"Kami sudah biasa beraksi bersama jadi saya berasakan bahawa tiada masalah untuk mencari jaringan padang.
"Kami sudah bersedia untuk menghadapi final," katanya.
Seorang lagi pemain yang meniti fasa terbaik ketika ini adalah Nik Aiman Nik Rozemi.
Kepantasan serta kelincahannya di kawasan D menghantui barisan terakhir lawan dan pemain -- yang sudah mengumpul 125 penampilan antarabangsa pada usia 26 tahun itu --menawarkan perspektifnya terhadap kekuatan Korea Selatan berdasarkan rekod empat pertemuan terdahulu.
"Peranan saya lebih kepada serangan dan apabila berkesempatan, saya dan pemain hadapan yang lain akan banyak buat larian untuk beri peluang kepada pertahanan cari bola di dalam (kawasan lawan).
"Kami perlu pertahanan pukulan sudut penalti Korea Selatan," katanya.
Must-Watch Video