SUKAN LAIN
Fauzan kecewa taraf LTdL diturunkan
Pelumba senior lebuh raya negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, kecewa apabila Le Tour de Langkawi (LTdL) kini setaraf Tour of Indonesia dan Tour of Thailand yang tidak disertai pasukan jelajah dunia ekoran penurunan taraf perlumbaan.
Penurunan taraf LTdL kepada 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bermakna pelumba negara terlepas peluang untuk bersaing dengan jaguh dunia.
Ini kerana pasukan jelajah dunia lebih cenderung beraksi dalam perlumbaan Grand Tour atau siri profesional yang membabitkan saingan kelas Hors.
Iklan
Situasi tersebut mengecewakan pelumba negara yang menjaga nama baik LTdL sejak lebih sedekad lalu.
"Kami mahu berlumba dalam kelas Hors untuk bersaing dengan barisan pelumba bertaraf dunia. Saya berasakan LTdL hilang taraf Hors agak mengecewakan," katanya.
"Kelas 2.1 ini dalam sudut positif, ia memberikan peluang kepada pelumba negara untuk mengutip mata tanpa kehadiran pasukan jelajah profesional," kata pelumba negara, Nik Mohd Azwan Zulkiflie.
UCI menurunkan taraf LTdL kerana tidak berpuas hati apabila tiada sebarang pasukan jelajah profesional menyertai saingan 2019.
Ia berpunca daripada tindakan Kementerian Belia dan Sukan beberapa kali menangguhkan tarikh perlumbaan dan kegagalan penganjur mendapatkan pasukan profesional.
Barisan pegawai Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan berusaha menaikkan semula taraf LTdL kepada siri profesional bagi edisi 2021.
Must-Watch Video