Skip to main content

Sukan Lain

Farina sahut cabaran raih pingat di Korea Selatan

farina.jpg
Pelumba berbasikal trek negara, Farina Shawati Adnan, menyahut cabaran untuk mencapai sasaran meraih pingat dalam Kejohanan Basikal Trek Asia di Korea Selatan, Oktober depan walaupun berdepan risiko turun pangkat daripada Program Podium.

Farina antara empat pelumba negara yang gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Nasibnya akan dibincangkan dalam mesyuarat pra-penilaian bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Isnin ini.

Walaupun menerima tekanan, namun pelumba kelahiran Selangor itu masih yakin untuk menyelamatkan tempatnya dalam skuad kebangsaan selepas meraih pingat emas pecut berpasukan dalam Kejohanan Piala Trek Taiwan, bulan lalu.

"Saya berlatih seperti biasa dan meletakkan sasaran untuk layak ke Sukan Olimpik seterusnya. Ia bukan tugas mudah tetapi saya akan terus menampilkan persembahan yang terbaik," kata Farina.

Tiga lagi pelumba yang didakwa gagal mencapai KPI ialah Fatehah Mustapa, Mohd Khairil Nizam Rasol dan Mohd Shariz Afendi Mohd Shahrin.

"Saya belum capai sasaran KPI yang telah ditetapkan dan akan berusaha untuk memastikan ia dapat dilunaskan," kata Khairil Nizam.

Advertisement

Must Watch Video