Skip to main content

Sukan SEA

Farah Ann tamat penantian 15 tahun Malaysia

farah-ann.jpg
Farah Ann Abdul Hadi menamatkan penantian 15 tahun untuk menyaksikan gimnas negara kembali menjejakkan kaki dalam Sukan Olimpik apabila meraih tangga ke-16 senarai kelayakan acara all-around individu dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Stuttgart, Jerman, hari ini. 

Ratu gimnastik negara itu menamatkan penantian negara dalam temasya itu selepas Ng Shu Wai melayakkan diri dalam Sukan Olimpik Athens 2004.

Atlet kelahiran Selangor itu mengumpulkan 49.898 mata untuk menghuni tangga ke-59 peringkat kelayakan. 

Gimnas berusia 25 tahun itu diumumkan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menghuni ranking ke-16 daripada 20 peserta -- tanpa mengira gimnas lain yang sudah layak lebih awal ke temasya berkenaan.

"Saya fikir apa yang membantu kejayaan saya ialah mengekalkan ketenangan dan melakukan yang terbaik.

"Kerana saya agak gugup untuk menghadapi kejohanan ini, jadi saya hanya mahu turun beraksi untuk melakukan yang terbaik dan tidak memikirkan kelayakan itu," katanya.

Apa yang menarik, penyertaan skuad gimnastik negara dalam kejohanan itu disahkan pada saat-saat akhir ekoran masalah dana.

Cabaran Malaysia di Stuttgart akan akan diteruskan oleh gimnas lelaki, Jeremiah Loo.

Skuad negara akan pulang ke tanah air Khamis ini.

"Saya berasa amat bersyukur untuk layak ke Sukan Olimpik memandangkan ia telah menjadi impian saya sejak berumur lapan tahun.

"Untuk layak dan beraksi di sana sudah menjadi satu pencapaian yang amat hebat.

"Saya mahu berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan dan keluarga saya di atas sokongan mereka kerana mereka telah membantu saya untuk berada di tahap ini," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, meluahkan rasa bangganya dengan kejayaan Farah Ann.

Beliau kini sedang merangka program untuk gimnas itu mendapatkan latihan di luar negara bagi memantapkan persiapannya dan antara pusat latihan yang disenarai pendek ialah di Amerika Syarikat (AS).

"Kami amat gembira terdapat perubahan yang sedang berlaku.

"Kami dapat lihat atlet kini lebih serius dan mencuba untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Selama ini kita sering bercakap 'jangan jadi jaguh kampung', jadi kami ingin bersaing di peringkat antarabangsa.

"Saya juga merancang untuk membawa Farah Ann berlatih di AS untuk bersama atlet terbaik dunia di sana," katanya.

Advertisement

Must Watch Video