Skip to main content

Sukan SEA

Empat kejuaraan lonjak semangat Rafiq

rafiq-ismail.jpg
Empat kejuaraan berturut-turut yang diraih menyuntik semangat dan keyakinan jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, dalam memburu pingat emas Sukan SEA Filipina, November depan.

Olahragawan Kebangsaan itu bagaikan sudah menemui kembali rentaknya selepas menamatkan penantian pingat emas selama tujuh tahun negara dalam saingan Jelajah Boling Asia (ABF) di Hong Kong, Ahad lalu, sekali gus melakar kejayaan keempatnya sepanjang bulan ini.
 
Satu-satunya pemain Malaysia yang pernah memenangi gelaran ABF adalah Kang Bo Long pada 2012.
 
Terdahulu, Rafiq, 22, meraih pingat emas dalam Terbuka Singapura, Masters Jelajah Boling Eropah di Madrid dan Terbuka Hong Kong.
 
"Buat masa ini, memang saya ada keyakinan menjelang Sukan SEA.
 
"Tetapi macam manapun, saya tidak boleh memandang rendah lawan.
 
"Lawan sentiasa akan bersaing, jadi saya akan berlatih dan hidup macam biasa.
 
"Saya harap dalam Sukan SEA ini, saya akan sekali lagi menyumbangkan pingat emas untuk Malaysia," katanya.
 
Empat bulan menjelang Sukan SEA, jaguh muda negara itu mengakui tindakan tuan rumah, Filipina, yang belum menetapkan acara, menjejaskan persiapannya.
 
"Sebenarnya, benda ini tidak bagus untuk sukan boling.
 
"Ia sentiasa berubah-ubah.
 
"Tetapi kami sentiasa menjalani latihan menjelang setiap kejohanan.
 
"Kami salah satu pasukan yang terkuat di Asia Tenggara dan saya sendiri yakin dengan pasukan ini," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video