Skip to main content

Sukan Lain

Empat jurulatih olahraga ditamatkan kontrak

olahraga-bakal-lubuk-emas-negara-mumtaz.png
Empat jurulatih, diketuai Samuel Kipsang Rono, ditamatkan kontrak selepas atlet mereka gagal mencapai prestasi memuaskan, dengan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, akan bertemu barisan pengendali negara, Sabtu ini untuk menentukan hala tuju mereka.

Prestasi tidak memuaskan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi faktor utama empat jurulatih berkenaan ditamatkan kontrak.

Keempat-empat mereka dimaklumkan secara lisan untuk merancang masa depan masing-masing, malah ada yang sudah kembali ke pangkuan majikan asal.

Malah, jurulatih jarak jauh, Kipsang, sudah pulang ke Kenya beberapa hari lalu.

"Saya sudah meluat untuk mencari jurulatih berkualiti tetapi ia telah ditolak. Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa," kata Karim.

"Saya akan berbincang semula dengan barisan kejurulatihan bagi mendapatkan jurulatih lain."

Setakat ini, hanya 10 jurulatih dicadangkan untuk menyertai program Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018, antaranya Mohd Poad Md Kassim (pecut), Alex Stewart (lompat tinggi) dan Gu Yuan (baling tukul besi).

KOM akan bertemu barisan jurulatih negara, Sabtu ini, untuk menilai adakah khidmat mereka masih diperlukan menjelang Sukan SEA Filipina 2019.

Sementara itu, Hamberi Mahat yang turut ditamatkan kontrak sudah kembali ke pangkuan majikannya.

Pengendali acara 400m itu dimaklumkan mengenai statusnya bulan lalu.

Faktor utama ialah kerana atletnya gagal meraih pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila Mohd Azam Masri sekadar meraih tempat keempat dengan catatan 47.24 saat.

Hamberi, yang memiliki pengalaman selama 11 tahun sebagai jurulatih olahraga, berharap masih dapat menabur bakti untuk negara.

"Saya menghormati keputusan MSN dan KOM kerana mereka memiliki sebab yang munasabah untuk menamatkan kontrak jurulatih dan saya akan kembali bersama majikan saya sebelum ini," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video