Skip to main content

Sukan Asia

Ekuestrian: Qabil cetus sensasi

qabil-ambak.jpg
Ekuin negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, mencipta sensasi dalam dalam Sukan Asia pertamanya selepas lapan tahun apabila menghuni ranking pertama di peringkat kelayakan acara dressage individu dengan catatan 74.881 mata di Indonesia, hari ini.

Ini merupakan penampilan sulung Qabil selepas meraih pingat perak Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Dia bersama kuda, Rosenstolz, memikat juri dengan aksi menarik untuk mengetepikan kuda yang lebih mahal, terutama dari Jepun, Korea Selatan dan Asia Barat.

Qabil mencatat 74.881 mata sebagai petanda positif menjelang pusingan kelayakan kedua, esok.

"Saya meraih markah yang tinggi, jarang pengadil memberi markah tinggi dalam pusingan kelayakan. 

"Mungkin mereka menyukai kuda saya, saya tidak pasti tetapi kali ini saya memperoleh markah yang tinggi.

"Mustahak untuk memukau pengadil dalam pusingan pertama, ini boleh membantu saya (menambat hati pengadil dalam pusingan seterusnya).

"Tanggapan pertama sangat penting," kata Qabil.

Wakil Korea Selatan, Hyeok Kim, berada di ranking kedua dengan 71.235 mata sementara Jacqueline Siu Wing-ying dari Hong Kong, ketiga.

Apa yang menarik, walaupun Rosenstolz berharga RM800,000 namun ia mewujudkan keserasian bersama Qabil.

Kuda dari Jepun, contohnya, mencecah harga RM15 juta.

Seramai 12 ekuin terbaik akan melayakkan diri ke final, Khamis ini.

Advertisement

Must Watch Video