HOKI
Edisi Piala Sultan Azlan Shah 2023 dianjur tahun depan
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengesahkan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2023 akan dianjurkan pada 2024 selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Ketika ditanya mengenai tarikh sebenar penganjuran, Subahan memaklumkan KHM kini dalam fasa terakhir perbincangan dan dijangka bakal berlangsung pada awal tahun depan.
Untuk rekod, The Malaysian Speedy Tigers, mencatat sejarah apabila menamatkan penantian 39 tahun untuk bergelar juara selepas menundukkan Korea Selatan 3-2 dalam penentuan gelaran, November tahun lalu.
Iklan
"Saya masih kena duduk (berbincang) dengan Arul Selvaraj yang baru balik dari Dublin, kemudian saya akan duduk dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Sri Dr. Anil Jeet Singh.
"Tapi perancangannya sudah ada dan kalau dianjurkan sebelum Sukan Olimpik (Paris), cukup banyak pasukan yang akan mengambil bahagian kerana kejohanan ini ditanggung oleh Kerajaan Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan sama, Subahan turut memaklumkan badan induk itu kini dalam perancangan untuk menganjurkan kejohanan hoki dalam dewan antarabangsa iaitu Piala Sultan Nazrin Shah dan Piala Tuanku Zara yang dijangka diadakan pada November depan, turut dilangsung di Ipoh.
"Piala Tuanku Zara pernah dianjurkan beberapa tahun lalu dan kami tidak mahu ia hilang begitu sahaja selepas pertama kali diadakan.
"Tuanku sangat bersetuju bahawa bukan sahaja PSAS, Piala Tuanku Zara dan satu piala baru iaitu Piala Sultan Nazrin Shah untuk lelaki.
"Kami mohon kebenaran daripada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) untuk mengadakan selang setahun," katanya lagi.
KHM menyasarkan sebanyak 16 pasukan bakal menyertai kejohanan ini dengan masing-masing lapan penyertaan daripada pasukan lelaki, begitu juga kategori wanita.
Dalam perkembangan berbeza, skuad remaja negara tampil garang dan beraksi cemerlang apabila merekodkan kemenangan bersih dalam empat siri perlawanan persahabatan menentang kelab Westen Australia menjelang misi dalam Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Disember depan.
Must-Watch Video