SUKAN LAIN
Doping: Syazrul Adli kemuka rayuan kurangkan tempoh penggantungan
Pelari pecut muda, Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli, yang digantung empat tahun kerana kesalahan salah guna bahan terlarang, mengemukakan rayuan untuk mengurangkan hukuman tersebut, kata Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.
“Dia telah mengemukakan rayuan Sabtu lalu. Kami akan membincangkannya lebih lanjut dalam mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur.
Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu sebelum ini diberikan tempoh 30 hari bermula 24 Januari lalu, iaitu tarikh hukuman itu diumumkan oleh KOM untuk mengemukakan rayuan.
Iklan
Pelari pecut berusia 18 tahun dari Pulau Pinang itu didapati menggunakan dua bahan terlarang, iaitu methasterone dan oxymetholone -- sejenis steroid androgenik anabolik dalam ujian doping yang dijalankan ketika Kejohanan Tertutup KOM pada Ogos 2019.
Muhammad Syazrul pernah mewakili Pulau Pinang dalam acara 100m lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dan merupakan sebahagian daripada kuartet 4x100m Johor yang meraih emas dalam Kejohanan Tertutup KOM itu.
Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping KOM, Datuk R. Annamalai, berkata pihaknya akan menghantar rayuan itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).
“Mereka akan meneliti kes itu sebelum membuat sebarang keputusan lanjut. Terpulang kepada atlet itu sama ada mahu membela diri dengan hadir ke CAS di Lausanne, Switzerland atau bela diri tanpa hadir ke sana kerana faktor kos,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video