Skip to main content

Sukan Lain

Disiplin permainan jadi titik tolak kejayaan skuad bola jaring B-21

bola-jaring-remahja.jpg
Skuad bola jaring bawah 21 tahun (B-21) negara pulang ke tanah air selaku pasukan remaja terbaik benua ini selepas menjuarai Kejohanan Remaja Asia di Kashima, Jepun, semalam. 

Skuad negara, yang pernah menjuarai kejohanan itu selama lima kali berturut-turut pada 2004, 2006, 2008, 2010 dan 2013, muncul juara selepas mengalahkan juara bertahan, Singapura, 57-48.

"Ia satu perlawanan yang getir. Dalam suku pertama, kami ketinggalan tiga jaringan tetapi itu bukanlah halangan untuk kami terus bersaing. 

"Kami terus mengikut taktikal yang sudah dirancang dan kami akhirnya berjaya mengekalkan pendahuluan sejak suku kedua sehingga tamat perlawanan. 

"Itulah rahsia kami," kata ketua pasukan, Azilah Aziz, yang ditemu bual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2), hari ini. 

Secara peribadi, Azilah menganggap pentas itu sebagai langkah penting buatnya sebelum menyertai kem senior kebangsaan. 

"Ini merupakan kejohanan terakhir saya di peringkat remaja sebelum mengalihkan tumpuan kepada kempen Sukan SEA 2019 (dari 30 November hingga 11 Disember). 

"Sedikit-sebanyak perlawanan sengit ini memberi pengalaman kepada saya, Insya-Allah ia akan membantu peningkatan prestasi saya," katanya.  

Selain meraih kejuaraan keenam dalam kejohanan B-21 itu, kejayaan tersebut juga melayakkan Malaysia ke Piala Dunia Remaja 2021 di Fiji.

 

Advertisement

Must Watch Video