Skip to main content

Olimpik

Dhabitah bagai dihulur tiket ke Tokyo

dhabitah.jpg
Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, memiliki peluang keemasan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila acara 3 meter individu papan anjal wanita Piala Asia di Bukit Jalil, bulan depan hanya disertai empat pencabar -- dua daripadanya wakil Indonesia.

Dhabitah perlu menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk layak buat kali kedua ke Sukan Olimpik selepas temasya Rio 2016.

Penerjun berusia 20 tahun itu akan berdepan cabaran rakan sepelatih, Joey Loh Zhiayi, dan dua penerjun Indonesia yang tidak memiliki reputasi besar dan pemenang pingat emas akan layak ke Olimpik Tokyo.

"Ia merupakan kelebihan buat penerjun negara yang bakal beraksi di laman sendiri. Cabaran saya dalam saingan kali ini adalah perlu mengawal tekanan ketika beraksi nanti," kata Dhabitah.

Ketika ini, tiga penerjun negara sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo, iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Wendy Ng Yan Yee.

Penerjun lelaki negara, Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei, juga memiliki peluang baik untuk layak tanpa kelibat penerjun China dalam acara 3m individu papan anjal.

"Empat atlet akan beraksi dalam saingan Piala Asia kali ini dan dua daripada mereka merupakan penerjun dari Jepun dan salah seorang daripadanya merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Asia," kata Yiwei.

"Penerjun negara bakal berdepan halangan daripada negara seperti Indonesia, Qatar, Kuwait dan Indonesia. Saya melihat mereka mampu mengatasi lawan dan memberikan keputusan positif nanti," kata ketua jurulatih negara, Christian Brooker.

Advertisement

Must Watch Video