Skip to main content

Hoki

Dhaarma tidak mahu pemain tertekan

hoki-wanita.jpg
Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, mahu memberikan tumpuan penuh kepada latihan meskipun kedudukan Malaysia masih belum kukuh di ranking ke-20 dunia ketika ini.

Selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengemas kini ranking bulan ini, kedudukan skuad Malaysian Tigress melonjak ke kedudukan 20 terbaik dunia.

Namun, kedudukan terkini belum mengesahkan slot mereka dalam pusingan play-off kelayakan akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 sehingga kemas kini ranking bulan depan. 

Bagaimanapun, Dhaarma enggan menjadikan perkara itu sebagai tekanan buat barisan pemainnya, malah bertekad untuk memberikan tumpuan penuh apabila menyambung latihan yang sudah bermula semalam. 

"Ranking FIH akan sekali lagi dikemas kini, hanya Asia yang menamatkan proses kelayakan ini sedangkan saingan di Eropah, Oceania, Afrika dan Pan-Amerika masih belum. 

"Justeru, kempen kelayakan pasukan Republik Czech, Belarus dan Russia --  yang berebut slot dengan Malaysia -- masih belum berakhir," katanya. 

Dalam pada itu, Dhaarma menjelaskan perancangannya untuk menghantar beberapa pemain dalam kancah liga Eropah sebagai persiapan untuk menghadapi aksi play-off kelak. 

"Kalau pemain negara tidak bermain di luar negara, ia satu kerugian besar kalau peluang akan dilepaskan begitu sahaja. 

"Saya perlu berjumpa dengan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, untuk membincangkan soal hala tuju skuad ini. 

"Kalau boleh saya mahu kami semua pergi ke Eropah," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video