HOKI
Dhaarma senarai 18 pemain terbaik
Pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menyenaraikan 18 pemain terbaiknya menjelang Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Ireland, bermula hujung minggu ini tanpa khidmat Nur Zafirah Aziz dan Nurhaslinda Said.
Selepas aksi pemanas badan terakhir menentang kelab Scotland, Uddingston, semalam, pengendali itu terpaksa menggugurkan Zafirah dan Haslinda bagi membentuk skuad utama.
Penyerang muda, Siti Zulaikha Hussin, menjadi pilihan ketua jurulatih itu selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam setiap perlawanan manakala Surizan Awang Noh mengambil tempat Haslinda.
Iklan
"Siti Zulaikha telah memaparkan aksi yang lebih baik dan konsisten berbanding Zafirah.
"Persaingan di antara Haslinda dan Surizan amat sengit, namun Surizan memaparkan aksi yang lebih konsisten walaupun dia mengalami gegaran kepala sebelum ini," katanya.
Pemilihan 18 pemain itu tampak meyakinkan Dhaarma terhadap peluang pasukannya merebut tiket automatik ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Beliau berharap setiap pemain akan menonjolkan aksi terbaik, terutama ketika menentang pasukan tuan rumah dalam perlawanan pembukaan.
"Saya melihat setiap pemain yang terpilih akan diturunkan dalam setiap perlawanan.
"Ia tidak mengambil kira sama ada ketika kami berdepan pasukan gergasi seperti Ireland ataupun Korea (Selatan)," tambahnya.
Must-Watch Video



