Skip to main content

Permotoran

Cub Prix: Hafiz raih kemenangan sulung CP150 di Temerloh

cp150-action.jpg
Md Hafiz Nor Azman meraih kemenangan sulung dalam kategori CP150 setelah mengungguli perlumbaan di litar basah dalam Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, hari ini.
 
Pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ Racing itu menamatkan perlumbaan yang dikurangkan kepada 15 pusingan setelah terpaksa ditangguhkan sebelum itu akibat hujan dengan masa keseluruhan 11:28.110 saat, mengatasi rakan sepasukan, Ahmad Afif Amran dengan kelebihan 2.959s.
 
Perlumbaan di litar basah menyaksikan kedudukan pendahulu bertukar seawal perlumbaan setelah pendahulu, Mohd Helmi Azman (Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing), dipintas oleh pelumba rookie, Mohd Aiman Azman, sebaik lampu merah dipadamkan.

Aiman, bagaimanapun, gagal menggunakan kelebihan apabila terjatuh dan membuka ruang buat Hafiz untuk mendahului sehingga ke garisan penamat.
 
Tumpuan terarah kepada perebutan di tempat kedua di antara Afif, Akid dan Kasma Daniel Kasmayuddin sebelum juara musim 2017 itu terjatuh di pertengahan perlumbaan dan seterusnya memberi laluan kepada Afif dan Akid untuk menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:31.069s manakala Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) di tempat ketiga dengan masa 11:31.199s.
 
“Pada peringkat awal, saya cuba untuk mendapatkan rentak berlumba di litar basah sebelum berjaya menjarakkan diri dengan pelumba di belakang. Selepas masuk pusingan ke-10, saya hanya fokus untuk kekal konsisten dan mengelak sebarang kesilapan.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan peribadi pertama saya dalam kategori ini,” jelas Hafiz yang berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 54 mata.
 
Ahmad Afif terus kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 90 mata, diikuti Kasma dengan 70 mata.
 
Sementara itu, Md Haziq Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang bermula dari petak pertama tidak mengalami masalah untuk menguasai perlumbaan CP115 apabila mendahului keseluruhan perlumbaan untuk menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:21.993s.

Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) muncul naib juara dengan masa 11:23.578s, diikuti Nazirul Izzat Md Bahauddin (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) ketiga, 11:23.800s.

Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat terus mendahului senarai keseluruhan dengan 88 mata manakala Md Haziq naik ke kedudukan kedua dengan 60 mata dan Md Fareez ketiga dengan 57 mata.

Dalam saingan WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) meraih kemenangan pertama musim 2018 setelah selesa mengungguli 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 9:16.611s, diikuti Md Alif Ashraf Tahiruddin (PETRONAS Sprinta YAMAHA) kedua, 9:24.158s dan Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team) ketiga, 9:24.334s.

Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH) yang gagal menjejakkan kaki ke podium buat kali pertama pada musim ini kekal mendahului senarai keseluruhan dengan 77 mata, diikuti Md Alif kedua, 56 mata dan rakan sepasukan Syarifuddin, Md Fadlyshah Redzuan, ketiga dengan 49 mata.
 

Advertisement

Must Watch Video