Skip to main content

Permotoran

Cub Prix: Fitri yakin hadapi pusingan ketiga

fitri-ashraf-razali.jpg
Mohd Fitri Ashraff Razali berdepan tugas baru dengan menggalas dua tanggungjawab utama dalam pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak, Johor, bermula Jumaat ini.

Selain beraksi dalam kategori CP150 bersama pasukan Cilik RCB Motorsport, pelumba itu juga akan bertindak sebagai pengurus pasukan FAR MMB Junior Team dalam kategori Wira. 

Walaupun mengakui bukan mudah untuk menggalas dua tugasan serentak, namun dengan berbekalkan pengalaman sebagai pelumba, Fitri yakin mampu menjalankan tanggungjawab itu tanpa menjejaskan aksinya dalam kelas perdana.

"Saya tidak mempunyai banyak masalah sebagai pelumba kerana mempunyai ahli pasukan yang berpengalaman. 

"Mereka mampu menyediakan jentera yang kompetitif dan ia terbukti dalam pusingan lalu apabila saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat keempat. 

"Selain itu, rakan sepasukan, Rozaiman Said dan Sharifuddin Shamsuddin, juga sudah lama terbabit dengan Cub Prix, jadi pengalaman mereka turut membantu pasukan ini untuk mempersiapkan jentera terbaik buat kami.

"Cuma nasib Rozaiman tidak begitu baik kerana mengalami sedikit masalah teknikal dan belum berada di tahap terbaik," katanya. 

Menjelaskan tanggungjawabnya sebagai pengurus pasukan, Fitri berkata: "Saya sukakan tugasan ini kerana saya dapat menyumbang tenaga untuk membimbing pelumba-pelumba muda. 

"Kalau diperhatikan barisan pasukan dalam Cub Prix, saya merupakan antara pengurus termuda yang ada dan tidak ramai pelumba yang menjadi pengurus ketika mereka masih berlumba.

"Saya menjadikan tugas ini sebagai satu cabaran besar dan sebagai persediaan untuk masa akan datang," tambah pelumba berusia 25 tahun itu. 

Advertisement

Must Watch Video