Skip to main content

Permotoran

Cub Prix: Afif tidak tertekan

afif-amran.jpg
Penyandang gelaran juara keseluruhan CP150, Ahmad Afif Amran, akui tidak berasa tertekan dengan penguasaan yang dipamerkan pelumba Honda dalam pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Jasin, Melaka, bulan lalu.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing itu sekadar menamatkan perlumbaan di tangga keempat di belakang juara, Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing), Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) dan rakan sepasukan Azroy, Md Zaqhwan Zaidi, yang melengkapkan podium di kedudukan ketiga.

Menjelang perlumbaan di Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini, Afif, yang meraih sembilan podium musim lalu, termasuk empat gelaran juara, sebaliknya yakin dia dan rakan sepasukannya serta barisan pelumba Yamaha yang lain akan bangkit dan kembali ke kedudukan podium.

"Saya tidak tertekan dengan keputusan pusingan lalu. 

"Perlumbaan di Jasin juga tidak bermaksud prestasi kami musim ini sudah menurun, sebaliknya kami masih mencari keserasian dengan beberapa percubaan dan pelarasan mengikut perubahan peraturan teknikal jentera yang digunakan musim ini.

"Sebenarnya, keputusan di Jasin itu dapat menjadikan saingan musim ini lebih kompetitif dan menarik. 

"Persaingan di antara jentera Yamaha dan Honda pasti lebih sengit dan kami perlu bekerja lebih keras jika mahu menaiki podium. 

"Kami tidak boleh mengambil mudah walaupun perlumbaan masih di peringkat awal," katanya.

Advertisement

Must Watch Video